Pages

Subscribe:

Saturday, May 1, 2010

Tahniah buat Rumah Kuning !!

            Sekalung tahniah buat ahli rumah kuning di atas kejayaan yang gemilang dalam Temasya Sukan Tahunan SK Sg Kerawai Kali ke 26 yang lepas. Kejayaan menggondol 22 pingat emas adalah sesuatu yang membanggakan. Sikap tidak mudah putus asa, sentiasa berusaha membaiki persembahan serta semangat berpasukan yang baik adalah antara kunci kejayaan rumah kuning kali ini. 

 Ahli rumah kuning melompat kegembiraan selepas dinobatkan sebagai juara keseluruhan ........

Friday, April 30, 2010

Temasya Sukan Tahunan Kali ke 26

           Alhamdulillah, semalam telah berlangsung Temasya Sukan Tahunan SK Sg Kerawai Kali ke 26 dengan jayanya. Temasya bermula jam 2.45 petang dengan acara Perbarisan lintas hormat kontinjen-kontinjen yang bertanding. Menariknya perbarisan kali ini adalah dengan adanya maskot bagi setiap pasukan. Rumah biru dengan maskot lembu, kuning dengan maskot itik, merah dengan maskot beruang panda dan pra sekolah dengan maskot ayam jantan.

           Perasmian sukan kali ini dilakukan oleh En Ahmad Muhajir bin Abas, Penyelia Sukan dan Permainan PPD Hilir Perak. Majlis berjalan lancar dengan cuaca yang panas terik. Pihak sekolah juga dikejutkan dengan insiden ketua murid yang hampir pitam ketika acara menaikkan bendera dan bacaan ikrar hampir. Namun, Alhamdulillah ketua murid itu pulih tepat pada masanya.

           Selesai acara perasmian, temasya bermula..Pada hari pra sukan sebelum ini, rumah kuning mendahului pungutan pingat emas iaitu sebanyak 12 pingat. Diikuti dengan rumah biru dan merah dengan masing-masing 4 pingat. Dan pada temasya kali ini, rumah kuning manambah koleksi pingat emas iaitu sebanyak 10 pingat. Manakala rumah merah dan biru masing-masing menambah 4 pingat lagi menjadikan kutipan pingat emas keseluruhan adalah; Rumah Kuning: 22 pingat emas, Merah dan Biru : Masing-masing 8 pingat emas. 

               Bagi acara 4 x 100m jemputan lelaki, tiada sekolah lain yang sudi menghantar wakil manakala bagi kategori perempuan, hanya 2 buah sekolah sahaja yang menghantar wakil iaitu SK Kg Bahagia dan SK Sg Tungku. Temasya kali ini diserikan lagi dengan acara guru yang dijuarai oleh En Shahimi dan Pn Isliaha. Sekalung tahniah buat Nor Shahrul Azroy dari rumah merah dan Rabiatul Adawiyah dari rumah biru yang terpilih sebagai olahragawan/olahragawati. Rumah kuning pula diisytihar sebagai juara keseluruhan dan juara perbarisan lintas hormat. Majlis Perasmian Penutup disempurnakan oleh Pn Noora Bustanuddin dan keesokan harinya diisytiharkan cuti. Temasya berakhir jam 6 petang.


Monday, April 12, 2010

Alf Mabruk..

           Setinggi tahniah untuk Pasukan Puteri Islam SKSK yang telah dinabatkan sebagai Juara Keseluruhan bagi kategori sekolah rendah. Pasukan SKSK telah menjadi johan bagi 2 pertandingan iaitu bercerita dan buku log, satu naib juara bagi pertandingan hiasan kuaci. Mereka ini akan mewakili daerah Hilir Perak untuk pertandingan peringkat negeri nanti..Semoga beroleh keputusan yang membanggakan.

Friday, February 26, 2010

Salam Maulidurrasul 1431


"Memantap Ukhuwwah Memperkasa Ummah"

Monday, February 22, 2010

Kem Perkhemahan Motivasi dan Kepimpinan


         Unit Kokurikulum dan Bimbingan Kaunseling serta Panitia Pendidikan Islam telah bekerjasama dalam menganjurkan Kem Perkhemahan Motivasi dan Kepimpinan Tahap Dua 2010 pada 19-20 September 2010 yang lalu. Perkhemahan ini diadakan di kawasan SK Sg Kerawai sahaja. 

              Program ini bermula dengan pendaftaran pada jam 3.30 petang. Pelbagai karenah murid dan ibu bapa yang menghantar anak-anak mereka ke program ini. Segala kelengkapan yang dirasakan perlu dibawa termasuklah "bantal busuk". Semua murid kemudiannya menunaikan solat Asar secara berjemaah di surau SKSK. Seusai menunaikan solat, murid-murid lelaki berkumpul di padang untuk mendirikan khemah. Sebanyak 7 buah khemah berjaya didirikan oleh murid-murid dengan bantuan dan bimbingan guru-guru. 

               Kira-kira jam 7 malam selesai mandi, murid menikmati makan malam dan seterusnya menunaikan solat maghrib berjemaah dengan dipimpin oleh Ustaz Kamarazman sebagai imam. Selesai solat murid-murid diberi sedikit tazkirah oleh Ustaz Kamarazman sehingga masuk Isyak. Selesai solat Isyak pula murid diberikan sedikit pengisian mengenai solat berjemaah dan persoalan masbuk dan muwafiq oleh Ustaz Fadzlan sehingga jam 10.00 malam.

                Selesai minum malam, murid-murid dibenarkan tidur. Pada awalnya semua murid lelaki akan tidur di khemah, namun disebabkan kepanasan didalam khemah, beberapa murid keluar dan tidur didalam kelas. Biasalah, murid-murid sangat excited" tidur di sekolah sehingga ada yang tidur kira-kira jam 3.30 pagi. Alhamdulillah, murid-murid ini tidak liat untuk bangun subuh walaupun tidur lewat.

                  Sesudah Subuh, murid diberikan sedikit tazkirah oleh Ustaz Fadzlan. Muri-murid bersarapan kira-kira jam 7.30 pagi. Slot Ceramah yang pertama adalah Motivasi bersama ibu bapa yang disampaikan oleh En Roshaimi, Kaunselor Cemerlang dari SMK Abdul Rahman Talib. Linangan air mata murid dan ibu bapa dapat disaksikan dalam slot ini. Slot seterusnya selepas rehat adalah slot Guru Besar bersama ibu bapa murid tahun 6. Pelbagai pesanan dan saranan yang disampaikan oleh Guru Besar. Dan slot ceramah yang seterusnya pula ialah Motivasi kemahiran belajar disampaikan oleh En Fuad b Esa. 

                     Kem Perkhemahan Motivasi dan Kepimpinan ini berakhir jam 2.30 petang. Tahniah diucapkan kepada semua yang terlibat. 

Monday, February 8, 2010

Pelancaran Pertandingan Kelas Ceria dan Kondusif

           Pada perhimpunan pagi tadi, Pn Noora binti Bustanuddin telah melancarkan Pertandingan Kelas Ceria dan Kondusif 2010. Pertandingan yang diadakan secara bulanan ini akan dinilai berdasarkan beberapa aspek seperti susun atur kelas, kreativiti, kebersihan dan sebagainya. Keputusan akan diumumkan pada setiap hujung bulan.

Pn Noora menurunkan tandatangan sebagai tanda pelancaran pertandingan..

Wednesday, January 20, 2010

Penapisan 3 Peringkat


     Kita begitu bimbang dengan tahap kebersihan air yang kita minum setiap hari. Untuk memastikan air yang kita minum itu bersih dan selamat, kita pun membeli penapis air yang beribu harganya. Tetapi bagaimana dengan kebersihan rohani kita? Adakah "makanan" yang sampai ke jiwa kita itu bersih?

Pada zaman dahulu, ada seorang guru yang sangat alim. Suatu hari guru ini didatangi oleh seorang muridnya.

"Wahai guru, mahukah guru mendengar satu cerita tentang seorang guru lain yang tinggal di kampung sebelah?"

"Tunggu dulu. Sebelum kamu memberitahu cerita itu, saya ingin menjalankan sedikit ujian yang dipanggil "penapisan tiga peringkat"

"Penapisan tiga peringkat?"

"Ya, betul. Sebelum kamu bercerita tentang guru itu, mungkin ada baiknya kita berfikir sejenak dan menapis setiap perkataan yang bakal keluar dari mulut kamu Sebab itulah saya menamakannya "penapisan tiga peringkat".

Peringkat pertama ialah KEBENARAN (truth).

Adakah kamu benar-benar yakin cerita yang bakal kamu sampaikan kepada saya itu, cerita benar?

"Tidak, sebenarnya saya baru saja terdengar cerita itu dan...."


"Baiklah..jadi kamu tidak pasti samada cerita itu benar atau tidak. Sekarang, kita cuba peringkat kedua pula iaitu KEBAIKAN (goodness).
Adakah cerita yang bakal kamu sampaikan kepada saya tentang guru itu, sesuatu yang baik?"

"Tidak, sebaliknya...."

"Jadi, kamu akan menyampaikan sesuatu yang tidak elok tentang guru tersebut dan juga kamu tidak pasti samada cerita itu benar atau tidak.
Sekarang tinggal satu lagi peringkat iaitu peringkat ketiga.
Peringkat ketiga ialah MANFAAT (usefulness).
Adakah cerita yang bakal kamu sampaikan kepada saya itu akan memberi manfaat dan kebaikan kepada saya?"

"Tidak juga..."

Murid itu terdiam.


"Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan dari prasangka. Sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain dan janganlah sebahagian kamu mengunjing sebahagian yang lain. Sukakah salah seorang di antara kamu memakan daging saudaranya yang telah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Penerima taubat dan Maha Penyayang." (al Hujurat, 49:12)

Monday, January 4, 2010

Sesi Persekolahan Baru Bermula

          Hari ini murid-murid SKSK memulakan sesi baru persekolahan 2010 dengan wajah yang ceria. Masing-masing kelihatan segak bergaya dengan pakaian dan kelengkapan persekolahan yang baru. SKSK menerima kehadiran 22 orang murid tahun 1 yangkebanyakannya murid pra sekolah SKSK. Tiada gelagat murid menangis dapat disaksikan kerana semua murid sudah biasa dengan rakan-rakan mereka. Murid-murid tahun 1 ini akan menjalani minggu transisi selama dua minggu.

            Perhimpunan pertama sesi 2010 menyaksikan sedikit penambahan pada aturcara majlis dengan satu lagu tambahan dinyanyikan iaitu lagu Satu Malaysia. Selain itu, satu slot santapan rohani diselitkan iaitu pengisian keagamaan yang disampaikan oleh Ustaz Kamarazman Mohd Adnan. 

             Sesi kali ini juga menampakkan keceriaan dalam kelas yang dicat semula untuk menaiikan mood murid untuk belajar. Semoga murid-murid akan terus bersemangat untuk belajar hingga ke hujung tahun.

Friday, January 1, 2010

Mesyuarat Guru 1/2010

         Mesyuarat pertama ini diadakan di Makmal Komputer SKSK jam 9.00 pagi. Ia diadakan selepas proses pendaftaran murid tahun 1. Mesyuarat kali ini dihadiri oleh semua guru kecuali En Zarimi bin Salleh yang tidak dapat hadir kerana mempunyai tugasan di sekolah lamanya.

Sesi 2010 ini menyaksikan SKSK menerima dua orang guru baru bagi menggantikan dua orang guru yang bertukar. Guru yang bertukar ialah :

1) En Khairol Aswadi Omar : bertukar ke SK Lubuk Merbau, Pendang Kedah.
2) En Leong Chee Wei          : bertukar ke SJK(C) Chong Min, Teluk Intan.

Guru yang yang baru menjadi warga SKSK pula ialah : 

1) Pn Nor Faezah binti Hamzah : dari SK Bidor 2, Bidor.
2) En Zarimi bin Salleh        : dari SK Kampung Soeharto, Kuala Kubu Bharu, Selangor.

          Mesyuarat dimaklumkan mengenai beberapa perkara penting dan transformasi yang bakal berlaku pada 2010. Antaranya peruntukan kerajaan yang berkurang kepada KPM yang menyaksikan beberapa program seperti Skim Bantuan Tuisyen, Bantuan Pakaian Seragam dan  Program Susu Sekolah dimansuhkan. 

               Mesyuarat ini mengedarkan takwim 2010 dan GB menjelaskan beberapa aktiviti dan peranan yang perlu dimainkan oleh guru-guru. Guru-guru juga diberikan jadual waktu mengajar untuk sesi 2010. Mesyuarat berakhir pada pukul 12.30 tengahari. 

Mutiara Kata

Nasyid fm