Pages

Subscribe:

Friday, August 28, 2009

Banyakkan Berdoa

          Sedar tak sedar, sudah seminggu kita berpuasa..Bagaimana agaknya kualiti puasa kita tahun ni ye? Mudah-mudahan ianya lebih baik daripada tahun lepas. Dalam bulan ini juga kita digalak untuk membanyakkan doa. Nabi S.A.W. sendiri menganjurkan kita satu doa yang afdhal diamalkan dalam bulan ini. Doanya seperti berikut :

            Selamat Beramal..

Monday, August 24, 2009

Amalan-amalan Sunat Pada Bulan Ramadhan

1. Menyegerakan berbuka setelah masuk waktu maghrib. Sunat bebuka dengan kurma dan segelas air.

Hadis Qudsi yang bermaksud;
“Sesungguhnya hamba-hamba- Ku yang paling Aku sukai ialah mereka yang menyegerakan berbuka.” (Riwayat: Imam Ahmad dan Tirmidzi)

“Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama ia menyegerakan dalam berbuka.” -HR Bukhari Muslim

“Apabila makanan telah dihidangkan, maka dahulukanlah makan daripada solat Maghrib dan janganlah kamu tergesa-gesa ketika makan makanan malam kamu.” -HR Bukhari Muslim

2. Membaca doa ketika berbuka:

Ertinya;
“Ya ALLAH, untuk Engkau puasaku, dan dengan Engkaulah aku beriman, dan atas adanya rezeki Engkaulah aku berbuka, disertai dengan rahmat Engkau wahai Tuhan yang Maha Pengasih.”

3. Melambatkan makan sahur. Sebaik-baiknya dua jam sebelum Subuh.

Jabir r.a menegaskan bahawa Nabi SAW pernah bersabda:
“Barang siapa yang akan berpuasa hendaklah dia makan sahur sekalipun hanya sedikit” (Riwayat: Imam Ahmad)

4. Membanyakkan ibadah di malam hari sepanjang berpuasa di bulan Ramadan. Solat tarawih pada setiap malam Ramadan dan witirnya.

5. Mulai malam 15 Ramadan sampai akhir bulan, membaca doa Qunut pada rakaat akhir solat witir.

6. Berdoa dan berzikir setiap malam sesudah witir.

7. Bertadarus samada sendiri atau secara berkumpulan.

8. Beriktikaf di masjid terutama pada 10 hari terakhir Ramadan.


“Pada 10 hari terakhir (di bulan Ramadan), Rasulullah lebih tekun mendirikan solat melebihi hari-hari yang lain.”

9. Membanyakkan ibadah malam terutama di malam 10 yang terakhir di bulan Ramadan.

Dalam suatu hadis yang bermaksud;
“Sesungguhnya Nabi SAW manakala telah memasuki 10 hari terakhir di bulan Ramadan, baginda selalu melakukan solat malam, dan membangunkan ahli keluarganya untuk beribadah bersama.” (Riwayat: Bukhari & Muslim)

10. Merperbanyakkan sedekah. Tidak kira sedekah apa-apapun. Harta, makanan, pakaian atau apa sahaja. Jika tidak mampu, berilah senyuman kerana ia adalah sedekah yang paling ringan.

“Sedekah yang paling afdhal (baik) adalah sedekah yang dikeluarkan dalam bulan Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

11. Menjamu orang-orang yang berbuka puasa. Elok jika majlis berbuka dibuat dari rumah ke rumah atau di masjid.


Sabda Rasullullah SAW yang bermaksud:

“Barangsiapa yang memberi makan (untuk berbuka) kepada orang yang berpuasa, maka ia beroleh puasa seperti pahala orang tersebut tanpa mengurangi pahala orang itu sedikit pun.”

12. Menjauhi perkara yang tidak berfaedah.

13. Mendapat keampunan apabila beristighfar sepanjang hari di bulan puasa.

14. Membanyakkan ibadah di bulan Ramadan kerana mengharap keredaan ALLAH SWT.

Sunday, August 23, 2009

Kemusykilan Puasa

Soalan :
Apakah hukum menggunakan 'inhaler' (bagi yang berpenyakit asma) semasa berpuasa?.

Jawapan :
Menggunakan 'inhaler' semasa berpuasa boleh membatalkan puasa. Dalam hal ini perlu dilihat orang yang berpenyakit asma yang kehidupan hariannya sepanjang hayat hanya bergantung kepada penggunaan 'inhaler (tidak boleh tidak) maka gugurlah kewajipan berpuasa ke atas dirinya dan dia hanya diwajibkan membayar fidyah iaitu secupak beras untuk setiap hari yang ditinggalkan.

Tetapi jika penggunaan 'inhaler' hanya pada waktu ia memerlukan sahaja (keadaan kritikal) dan kebetulan semasa itu ia berpuasa, puasa tersebut dihukumkan terbatal dan ia wajib menqqada' semula puasa tersebut.

***********************************************************************************

Soalan :
Adakah sah puasa sekiranya seseorang memberus gigi selepas azan subuh berkumandang untuk menunaikan solat subuh di dalam bulan puasa?

Jawapan :
Sah puasa memberus gigi sesudah azan subuh berkumandang. Perbuatan tersebut tidak membatalkan puasa.

***********************************************************************************

Soalan :
Apakah hukumnya samaada terbatal ataupun tidak puasa sekiranya seseorang itu memakai kanta sentuh (contact lens) dibulan puasa kerana dia akan menitikkan ubat mata (lens drop) apabila matanya kering.

Jawapan :
Sah puasanya kerana mata bukanlah rongga yang terbuka.

************************************************************************************

Soalan :
Apakah hukum seorang perempuan mengandung yang meninggalkan puasa di bulan Ramadhan kerana dikhuatiri memudaratkan diri dan anak di dalam kandungannya?

Jawapan :
Seorang perempuan yang sedang mengandung harus berbuka puasa jika dikhuatiri dengan sebab puasa tersebut akan menjejaskan diri dan anak di dalam kandungannya. Begitu juga keadaannya adalah harus meninggalkan puasa bagi perempuan yang sedang menyusukan anak sekiranya dikhuatiri akan menjejaskan kandungan air susu tersebut.

Ini berdasarkan keterangan sebuah hadis :

Maksudnya : Dari Anas r.a. Rasulullah S.A.W. telah berkata “Sesungguhnya Allah telah memaafkan setengah solat dari orang musafir, dan memaafkan pula puasanya, dan Dia memberikan (kemurahan) kepada wanita yang sedang hamil dan yang sedang menyusui".

-Riwayat Bukhari dan Muslim-

Walau bagaimanapun puasa yang ditinggalkan itu hendaklah diqada’ atau digantikan pada hari yang lain serta fidyah.

*************************************************************************************

Sumber : Jabatan Mufti Negeri Selangor

Saturday, August 22, 2009

KELEBIHAN SAHUR & TAMAR


“Sahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada berkat.”
-HR Bukhari dan Muslim-

Ibadat puasa adalah satu perkara yang dituntut dan diwajibkan ke atas semua umat Islam yang telah cukup umur dan berkemampuan. Dalam mengerjakan ibadat puasa, sahur adalah satu amalan sunat yang digalakkan kepada mereka yang berpuasa. Namun dalam era globalisasi yang sentiasa bergerak pantas ini, umat muslimin menjadikannya sebagai satu alasan untuk tidak bersahur. Mengantuk dan letih kerap dijadikan jawapan kepada keengganan bersahur walaupun ia telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW kepada setiap yang berpuasa.

Umum begitu arif dengan kaum lain yang juga mengerjakan puasa, namun apakah yang membezakan amalan puasa kaum muslimin dengan mereka? Perbezaannya jelas terletak di dalam pengambilan makanan sahur yang mana mereka tidak bersahur. Ramai juga yang tidak menyedari bahawa pada waktu bersahur juga adalah waktu yang mustajab untuk berdoa dan Allah SWT tidak akan menghampakan doa mereka.

Bagi mereka yang bersahur Allah SWT akan memberi keuntungan yang berlipat kali ganda. Selain daripada memperolehi kekenyangan dan kekuatan untuk mengerjakan ibadat puasa pada sebelah siangnya, mereka juga akan memperolehi berkat yang diturunkan pada sepanjang hari mereka melaksanakan ibadat tersebut.

Ibnu Hajar dalam mengulas Sahih Bukhari telah menyenaraikan beberapa kelebihan puasa, yang antara lainnya ialah:


• Menuruti sunnah;

• Membezakan diri dengan Ahlul Kitab;

• Menambah kekuatan untuk beribadat;

• Meningkatkan keikhlasan dalam beribadat;

• Menghilangkan perasaan marah yang diakibatkan oleh kelaparan dan

• Mendapat peluang untuk mengingati Allah dengan berzikir dan berdoa.

Namun, kita tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur. Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu untuk mengerjakan puasa pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau sikit pasti akan menimbulkan rasa kurang selesa. Sebaik-baik sahur yang dianjurkan ialah dengan memakan buah kurma atau tamar. Bersahur dengan memakan kurma adalah sebahagian daripada sunnah Nabi, justeru jika kita mengamalkannya, Allah SWT akan memberikan pahala sebagai ganjaran.

Abu Hurairah ra berkata, “Sabda Rasulullah SAW: Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma.” -HR Ibnu Hibban & Baihaqi

Seandainya keletihan menimbulkan kesukaran untuk bersahur, Rasulullah SAW menganjurkan agar tetap mengambil sebiji kurma ataupun memadai dengan seteguk air untuk mengisi perut.

Waktu sahur yang paling afdhal ialah pada waktu menjelang Subuh, iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh. Rasulullah SAW juga pernah bersabda bahawa waktu bersahur itu adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-Quran.

Selamat bersahur..

Thursday, August 20, 2009

Lusa Puasa..



Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Dato Sri Ibrahim Engku Ngah telah mengisytiharkan bahawa tarikh permulaan Ramadhan @ puasa ialah pada hari Sabtu, 22 September 2009 bersamaan 1 Ramadhan 1430H. Selamat berpuasa kepada semua umat Islam..Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan..

Melihat Anak Bulan Ramadhan




Petang ini, sebanyak 29 tempat di seluruh negara akan mengadakan proses melihat anak bulan ramadhan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Majlis Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Tempat-tempat tersebut ialah di Pontian Kecil Johor; Balai Cerap Al-Khawarizmi Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara Melaka; Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Pulau Angsa, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting Selangor; Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru Daerah Manjong Perak; Pantai Acheh Pulau Pinang; Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda Kedah; Pemandangan Indah,Pulau Langkawi; Menara Alor Setar, Alor Setar Kedah,Bukit Besar Kuala Terengganu; Bukit Kemuning, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) Setiu, Terengganu, Bukit Peraksi Pasir Puteh, Kelantan; Bukit Kampung Tembeling Mukim Manjur Daerah Olak Jeram Kula Krai Kelantan; Menara Bangunan SEDC, Kota Baharu Kelantan; Tanjung Lubang Miri, Sarawak; Teluk Bandung, Kuching Sarawak; Tanjung Batu, Bintulu Sarawak, Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil Sabah; Bukit Tanjung Batu Nenasi, Pahang; Gunung Berincang Cameron Highlands; Bukit Pelindong, Kuantan, Pahang; Menara Universiti Malaysia Sabah, kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat Perlis.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam ini,tarikh permulaan puasa yang ditetapkan melalui radio dan televisyen. Sama-samalah kita nantikan..

Wednesday, August 19, 2009

Ramadhan Kareem..



KELEBIHAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

PENERANGAN HADIS

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

Kursus Kecemerlangan Bahasa Arab Sekolah Rendah j-QAF

Selama 2 hari bermula 18 Ogos sehingga 19 Ogos 2009, Pejabat Pelajaran Daerah Hilir Perak dengan kerjasama IPGM Kampus Tuanku Bainun, Bukit Mertajam telah mengadakan satu Kursus Kecemerlangan Bahasa Arab di Dewan Melor, Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan. Kursus ini melibatkan semua guru Bahasa Arab dan beberapa orang Guru Pemulihan Jawi.

Kursus ini memberi penekanan kepada dua aspek utama iaitu penggunaan bahasa kelas dan penghasilan bahan bantu mengajar. Alhamdulillah kursus ini telah berjalan dengan jayanya. Majlis Penutup telah disempurnakan oleh En Mohd Fadzli bin Dahlan dari IPGM Tuanku Bainun. Semua peserta telah diberi sijil penyertaan oleh pihak IPGM Tuanku Bainun.

Mutiara Kata

Nasyid fm