Pages

Subscribe:

Tuesday, February 24, 2009

Indahnya Akhlak Rasulullah S.A.W


Antara Peribadi dan Akhlak Rasulullah S. A. W

1) Baginda berdoa dengan penuh khusyuk dan airmatanya sentiasa berlinangan
2) Wajahnya sentiasa ceria yang menyejukkan mata memandangnya
3) Sangat elok dan sempurna wajahnya
4) Baginda memilik perasaan yang halus
5) Suka makan beramai-ramai daripada berseorangan
6) Bencikan kemegahan dan perhiasan yang cantik melambangkan kesombongan dan kemegahan
7) Beliau makan setelah lapar dan berhenti sebelum kenyang
8) Tidak pernah mengumpat , mencerca atau menghina orang lain
9) Baginda memelihara rambutnya dengan kemas
10) Baginda memakai serban di atas kopiahnya
11) Suka membalas hadiah
12) Baginda mengucapkan salam kepada ahli rumah ketika hendak keluar atau masuk
13) Baginda sangat berlemah-lembut dengan isterinya dan ahli keluarganya
14) Sentiasa memulakan salam kepada sesiapa yang ditemuinya
15) Baginda bersalaman dengan sahabatnya dan memeluk mereka ketika berjumpa
16) Ketika berjabat tangan ia tidak melepaskan tangannya sehinggalah orang dijabatnya itu melepaskan tangannya
17) Apabila melepasi kumpulan kanak-kanak , baginda mengangkat tangannya tanda hormat kepada mereka
18) Tidak menatap atau merenung wajah orang lain lama-lama
19) Tidak bangun dari sesuatu majlis makan sehingga tetamu lain bangun
20) Tidak pernah menjulurkan kakinya di depan para sahabat
21) Baginda suka bercakap lambat-lambat dan menyebut perkataan dengan jelas
22) Sentiasa menumpukan perhatian kepada orang yang bercakap dengannya
23) Tidak pernah ketawa terbahak-bahak tetapi hanya tersenyum lembut
24) Sangat fasih dan manis dalam tutur bicara
25) Tersangat sabar dan tabah bila menghadapi setiap cabaran dan kesusahan
26) Amat kasih terhadap umatnya
27) Tidak pernah mengambil rezeki kurnian Allah melebihi keperluan makan minumnya
28) Rezeki yang melebihi keperluan akan ditaburkan untuk jihad Fisabilillah
29) Sentiasa membantu orang lain walaupun ia sendiri dalam kesusahan
30) Tidak pernah menghina orang miskin dan tidak rasa terhina bergaul dengan mereka
31) Suka menziarahi orang sakit
32) Amat pemurah hingga digambarkan seperti angin lalu pemurahnya
33) Baginda tidak suka tidur di bilik gelap dan di bawah bumbung yang terbuka dan tidak beratap
34) Tangannya tidak pernah menyentuh kulit wanita ajnabi
35) Bersikap tegas , pemaaf dan pengasih dalam perjuangan
36) Beliau mengambil wudhu' sebelum tidur dan berzikir hingga lena
37) Sangat menghormati orang-orang tua dan mengasihani orang-orang muda dan kanak-kanak

(dipetik daripada poster yang dikeluarkan oleh pustaka fikrah)

Ingat lah cintailah Rasulullah SAW kerana baginda sangat cinta pada kita

Monday, February 16, 2009

Peristiwa Penting di Bulan Safar



Makna Safar

Safar bermakna 'sifar' (kosong). Ia merupakan bulan kedua
dalam kalendar Islam. Dalam bulan ini orang-orang Arab
dahulu biasanya meninggalkan rumah mereka menjadi kosong.
Ketika inilah mereka melakukan serangan, melaksanakan
pembalasan terhadap musuh-musuh mereka.

Peristiwa

Beberapa peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam
pada bulan ini antara lain:

Perkahwinan Baginda saw dengan Khadijah binti Khuwailid r.a, ianya berlaku sebelum Nabi saw dilantik menjadi Rasul.

Kebenaran berperang (2 Hijrah), peperangan pertama yang dihadiri oleh Rasulullah saw adalah 'Wudan' atau 'Abwak' bagi menentang kekufuran.

Tragedi Ar-Raji', berlaku pada tahun ketiga Hijriyah (pendapat lain, 4 Hijriyah). Seramai tujuh orang sahabat Baginda saw diutus untuk mengajar agama Islam kepada kaum 'Udal dan Al-Qarah, tetapi mereka telah mengkhianati perutusan tersebut dengan melakukan serangan hendap di sebuah tempat persinggahan yang bernama Ar-Raji' di daerah 'Usfan (kawasan di antara Mekah dan Madinah).

Di antara yang menyertai perutusan itu Khubaib bin 'Adiy, Marthad bin Abi Marthad Al Ghanawiy, 'Asim bin Thabit dan Zaid bin ad-Dathanah.

Kesemua sahabat dibunuh di tempat serangan kecuali Khubaib bin 'Adiy yang dibawa ke Mekah dan dibunuh di sana. Beliau merupakan orang yang pertama menunaikan dua raka'at sunat sebelum dibunuh yang kemudiannya menjadi ikutan sunnah.

Peperangan Bi'ru Ma'unah (4 Hijrah), di bawah pimpinan Al-Munzir bin 'Amr As Sa'idiy yang ditugaskan untuk berda'wah dan mengajar tentang agama Islam dan Al-Quran kepada Bani 'Amir disertai oleh 40 orang sahabat Baginda s.a.w.

Pembukaan Khaibar (kubu orang Yahudi) pada tahun ketujuh Hijriyah, disertai juga oleh 20 orang sahabat wanita di antaranya Ummu Salamah, Safiyah binti Abd. Mutallib dan Ummu Aiman. Seramai 15 orang sahabat gugur syahid manakala di pihak Yahudi pula seramai 73 orang mati terbunuh. Orang Yahudi pada mulaannya merasakan bahawa mereka tidak boleh ditewaskan kerana keteguhan kubu, jumlah alat kelengkapan senjata dan bilangan mereka yang ramai.

Peperangan Maraj Rahit pada tahun ke-13 Hijriyah di pinggiran bandar Damsyik, Syria di bawah pimpinan Khalid bin Al-Walid.

Pelantikan 'Abd. Rahman Al Ghafiqiy sebagai Gabenor Andalusia pada tahun 113 Hijrah.

Kewafatan panglima Islam Salahuddin Al-Ayyubiy pada 27 Safar 589 Hijrah.

Kejatuhan Kerajaan Abbasiyah yanb berpusat di Baghdad ke tangan Tatar pada tahun 656 Hijriyah. Khalifah 'Abbasiah, Al-Mu'tasim Billah, terbunuh beserta ahli keluarganya, orang-orang kenamaan negara dan ratusan ribu orang Islam. Beribu-ribu kitab Islam musnah.

Saturday, February 14, 2009

Program Motivasi Kecemerlangan Diri dan Majlis Penyerahan Komputer

         Pada hari Khamis lepas, pihak sekolah telah mengadakan Program Motivasi Kecemerlangan Diri untuk murid tahun 4,5 dan 6 serta ibu bapa. Program ini telah dijalankan pada jam 2.00 petang. Pihak sekolah telah menjemput Ustaz Mohamad Shah bin Ramli, Penyelia Pendidikan Islam (Rendah), Jabatan Pelajaran Negeri Perak.

         Alhamdulillah, pemyampaian Ustaz Mohamad Shah amat menarik dan tidak membosankan. Tiada murid, ibu bapa dan guru yang terlena atau mengantuk walaupun waktu petang merupakan waktu yang amat sesuai untuk berehat. Ceramah motivasi beliau berakhir kira-kira jam 3.45 petang. 

        Selepas, sesi ceramah tamat, murid-murid dikehendaki melafazkan akujanji untuk mencapai target yang mereka telah tetapkan sendiri di hadapan ibu bapa mereka. Sesi ini dikendalikan oleh Cikgu Saiful Fauzi Sahari.

        Kira-kira jam 4 petang satu lagi majlis diadakan. Majlis yang dimaksudkan ialah majlis penyerahan sumbangan dua buah komputer meja kepada pihak sekolah oleh Syarikat Asia Ceramic Marketing Sdn Bhd. Pihak sekolah mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak yang sudi menderma.



Thursday, February 5, 2009

Pembekuan Pertukaran j-QAF Telah Cair…

          Pastinya ini berita yang amat mengembirakan bagi guru-guru j-QAF yang berhasrat untuk bertukar atas pelbagai alasan dan keperluan. Alhamdulillah..Melalui satu surat yang dikeluarkan oleh Bahagian Pendidikan Islam bertarikh 14 Januari 2009 guru-guru j-QAF boleh membuat permohonan pertukaran sekiranya memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan iaitu :
  1. Permohonan penempatan semula secara suka sama suka.
  2. Pemohon telah dilantik sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah DG41.
  3. Opsyen yang sama  
      Hanya guru-guru kohort 2005 sahaja yang boleh membuat pertukaran secara “online” manakala guru-guru lain perlu memohon secara manual. Tahniah diucapkan kepada pihak Jawatankuasa Petugas Khas j-QAF Kementerian Pelajaran Malaysia kerana prihatin dengan kebajikan guru-guru j-QAF.


Penggunaan Kad Bagi Rekod Bacaan Al-Quran


         Hasil dari taklimat yang disampaikan di PPD Hilir Perak pada hari Isnin lepas, maka rekod bacaan murid kini direkod dalam bentuk kad manakala buku rekod yang sedang digunapakai sekarang tetap juga diguna. Ini antara inisiatif terbaru yang dibuat oleh pihak kementerian. Moga-moga inisiatif ini akan memberikan kemudahan kepada guru-guru j-QAF untuk merekod bacaan murid-murid mereka.

Tuesday, February 3, 2009

Menjunjung Kasih Tuanku Sultan Azlan Shah


      Sejak semalam, Bandar Diraja Kuala Kangsar pastinya sesak kerana sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah Kuala Kangsar. Seramai kira-kira 25 kenamaan akan menjadi penerima darjah khas, Darjah Kebesaran Dato' Seri Azlanii (D.S.A) sempena 25 tahun pemerintahan Sultan Azlan Shah sebagai Sultan Perak.

       Namun, apa yang menarik adalah mengenai keperihatin Tuanku untuk melihat sambutan ini diadakan secara sederhana lantaran baginda sangat peka dengan suasana ekonomi semasa. Acara sambutan bertumpu kepada yang memperlihatkan sifat kesyukuran kepada Illahi; pentingnya pendidikan dan pelajaran; hubungan mesra dengan rakyat; penghargaan kepada individu yang banyak berjasa dan memberi khidmat setia kepada baginda; menghargai semangat hubungan antara Raja-Raja, Yang Dipertua-Yang Dipertua Negeri dan pimpinan kerajaan persekutuan; serta menghargai perkhidmatan setia pasukan pertahanan dan keselamatan negara yang telah menunjukkan sikap pengorbanan dan taat setia yang tinggi kepada Raja dan Negara.

       Sultan Azlan Shah, yang menaiki takhta pada 3 Feb 1984, merupakan Sultan Perak ke-34 dan antara empat Sultan yang bersemayam di takhta kerajaan mencecah 25 tahun.

       Mengikut sejarah Kesultanan Perak, Sultan Mansur Shah I, Sultan Perak kedua memerintah selama 28 tahun (1549-1577), Sultan Mahmud Iskandar Shah, Sultan Perak yang ke-11 memerintah selama 67 tahun (1653-1720) dan Sultan Idris Murshidul 'Adzam Shah I, Sultan Perak ke-29 memerintah selama 29 tahun (1887-1916).

Daulat Tuanku

Daulat Tuanku

Daulat Tuanku

Monday, February 2, 2009

Tasmik dan Bestari Solat

Setelah hampir sebulan sekolah disibukkan dengan kejohanan sukan sekolah, semua guru-guru sudah mula menumpukan kepada pengajaran dan pembelajaran. Program Tasmik dan Bestari Solat harian adakalanya terpaksa ditunda. Kini, segalanya akan kembali berjalan lancar.

Program Tasmik dan Bestari Solat Harian dijalankan dengan membahagikan pelajar yang terlibat mengikut tahun. Jadual Pelaksanaanya adalah seperti berikut :

Tahun 1 dan 3  : Hari Rabu dan Khamis pukul 1.05 - 2.05 petang

Tahun 2            : Hari Isnin dan Selasa pukul 1.05 - 2.05 petang

Tahun 4            : Hari Isnin dan Selasa pukul 1.35 - 2.05 petang

Alhamdulillah, setakat ini tiada masalah dalam pelaksanaan kedua-dua program ini.

Mutiara Kata

Nasyid fm