Pages

Subscribe:

Thursday, December 17, 2009

Salam Maal Hijrah

PANITIA PENDIDIKAN ISLAM SK SUNGAI KERAWAI MENGUCAPKAN SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BARU HIJRAH 1431H KEPADA SEMUA PENGUNJUNG BLOG INI.

SEMOGA TAHUN INI MEMBERIKAN SESUATU YANG TERBAIK KEPADA KITA SEMUA.

Doa Awal Tahun & Akhir Tahun Hijriah

Doa Akhir Tahun dibaca 3 kali pada akhir waktu Asar atau sebelum masuk waktu Maghrib pada akhir bulan Zulhijjah. 

Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata

“Kesusahan bagiku dan sia-sia lah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua. Dengan sebab membaca doa ini, Allah ampunkan dosanya setahun” 

Berikut adalah Doa Akhir Tahun




Maksudnya:

"Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, apa yang telah aku lakukan dalam tahun ini daripada perkara-perkara yang Engkau tegah daripada aku melakukannya dan aku belum bertaubat daripadanya. Sedangkan Engkau tidak redha dan tidak melupakannya. Dan aku telah melakukannya di dalam keadaan di mana Engkau berupaya untuk menghukumku, tetapi Engkau mengilhamkanku dengan taubat selepas keberanianku melakukan dosa-dosa itu semuanya. Sesungguhnya aku memohon keampunanMu, maka ampunilah aku. Dan tidaklah aku melakukan yang demikian daripada apa yang Engkau redhainya dan Engkau menjanjikanku dengan pahala atas yang sedemikian itu. Maka aku memohon kepadaMu.

Wahai Tuhan! Wahai yang Maha Pemurah! Wahai Yang Maha Agung dan wahai Yang Maha Mulia agar Engkau menerima taubat itu dariku dan janganlah Engkau menghampakan harapanku kepadaMu Wahai Yang Maha Pemurah. Dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad, ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan mengurniakan kesejahteraan ke atas mereka.


Barangsiapa yang membaca doa akhir tahun ini, maka syaitan akan berkata:“Hampalah kami di sepanjang tahun ini”.



*************************************************************************************

Doa Awal Tahun dibaca 3 kali selepas maghrib pada malam satu Muharram.


Sesiapa yang membaca doa ini, Syaitan berkata “Telah amanlah anak Adam ini daripada godaan pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua Malaikat memeliharanya daripada fitnah Syaitan”.



Berikut adalah Doa Awal Tahun


Maksudnya:

"Allah SWT berselawat ke atas penghulu kami Muhammad SAW, ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda dan kesejahteraan ke atas mereka.

Wahai Tuhan, Engkaulah yang kekal abadi, yang qadim. yang awal dan ke atas kelebihan-Mu yang besar dan kemurahanMu yang melimpah dan ini adalah tahun baru yang telah muncul di hadapan kami. Kami memohon pemeliharaan dariMu di sepanjang tahun ini dari syaitan dan pembantu-pembantunya dan tentera-tenteranya dan juga pertolongan terhadap diri yang diperintahkan melakukan kejahatan dan usaha yang mendekatkanku kepadaMu Wahai Tuhan Yang Maha Agung dan Maha Mulia.

Wahai Tuhan Yang Maha pengasih dari mereka yang mengasihi dan Allah berselawat ke atas penghulu kami Muhammad. Nabi yang ummi dan ke atas ahli keluarga dan sahabat-sahabatnya dan kesejahteraan ke atas mereka."



Wednesday, December 16, 2009

Mesyuarat PIBG tergempar

          Selasa lepas (15 Dis 2009, bertempat di Makmal Komputer SKSK satu mesyuarat tergempar PIBG terpaksa diadakan bagi membincangkan kutipan yuran yang akan dibuat pada awal tahun depan. Walaupun kehadiran ahli tidak ramai, namun ia masih memenuhi kuota yang ditetapkan untuk mengadakan mesyuarat.
                Alhamdulillah, hasil perbincangan dan muafakat bersama, semua bersetuju dengan cadangan jumlah bayaran yang perlu dijelaskan. Mesyuarat yang bermula jam 9.00 pagi itu ditangguhkan pada jam 10.30 pagi.

Sunday, November 22, 2009

Selamat Maju Jaya

                20 November 2009 merupakan hari terakhir buat En Khairol Aswadi bin Omar bertugas di SKSK. Selepas ini beliau akan menyambung tugasnya di Felda Lubuk Merbau, Kedah. Beliau hanya sempat bertugas kira-kira setahun lebih sahaja di sekolah ini. Apapun tahniah diucapkan dan selamat maju jaya di sekolah yang baru. Jangan lupa kami di sini.


" Selamat Maju Jaya dari kami di SKSK"

Wednesday, November 18, 2009

Majlis Jamuan Tahun 4 dan 5

          Biasa la hujung tahun. Semua kelas nak buat jamuan akhir tahun. Yang bertuahnya, guru-guru la..Dapat makan free.he..he..he.. Hari ini, kelas tahun 4 dan tahun 5 buat jamuan. Jamuan tahun 4 bermula jam 10.15 pagi..Antaranya menunya ialah burger dan sate disamping buah-buahan tempatan seperti jambu air, jambu batu, betik, rambutan dan langsat. Air pula ialah air bikarbonat. Alhamdulillah, terisilah jugak perut yang lapar tu..



           Kira-kira jam 11.30 pagi pula, guru-guru dan staff dijemput ke majlis jamuan tahun 5 pula. Hmm..lagi banyak makanan rupanya. Mujur tak makan banyak sangat tadi. Antara menu yang disediakan ialah sate,ayam goreng KFC, nasi himpit & kuah kacang, rendang daging dan kerang. Air yang disediakan juga air bikarbonat dan air sirap. Alhamdulillah, murah rezeki di sekolah ni..



Ni la antara gambar-gambar yang sempat diambil : 
                                   Majlis makan baru bermula......
                                   Amat menyelerakan....
                                   Pn Noora bersama kakitangan pejabat....
                                   Kakitangan sekolah...

Monday, November 16, 2009

Majlis Khatam Al-Quran 2009

           Sebagaimana lazimnya, Panitia Pendidikan Islam SKSK akan mengadakan majlis khatam al-Quran. Majlis kali ini disertai 24 orang murid iaitu 9 lelaki dan 15 perempuan. Majlis bermula jam 11.15 pagi dengan bacaan doa, ucapan YDP PIBG dan Guru Besar. Selapas itu, pengerusi majlis menjemput Khalifah khatam Al-Quran, Ustaz Kamarazman dan murid-murid mengambil tempat di atas pentas. 


             

Selesai majlis khatam Al-Quran, murid-murid yang khatam Al-Quran diberikan sedikit hadiah dan cenderahati. Majlis kemudiannya diteruskan dengan bacaan selawat oleh Ustaz Muhamad Fadzlan. Majlis berakhir dengan pengedaran bunga telur dan sedikit jamuan untuk tetamu dan murid-murid. Alhamdulillah, segalanya berjalan lancar dengan izin-Nya. 



Inilah antara gambar-gambar kenang-kenangan..

Hari Anugerah Kecemerlangan 2009

         Hari yang amat-amat dinantikan oleh pelajar2 cemerlang muncul jua. Murid-murid yang berjaya mencapai keputusan yang cemerlang kelihatan gembira dan ceria. Persiapan telah dibuat oleh guru-guru bermula seawal hari Isnin. Raptai dijalankan selama 3 hari bagi memastikan perjalanan majlis tiada gangguan dan lancar.

           Majlis Anugerah Kecemerlangan SK Sg Kerawai 2009 telah diadakan pada 12 November 2009. Majlis bermula kira-kira jam 2.45 petang. Majlis dimulakan dengan bacaan doa, nyanyian lagu negaraku dan lagu negeri Perak. Persembahan kompang (tahun 6) dan tarian (pra sekolah) telah memulakan persembahan murid pada hari itu. 

           Majlis diteruskan pula dengan siri ucapan daripada YDP PIBG, Guru Besar seterusnya ucapan perasmian oleh En Mahadi bin Hj Sidek, Timbalan PPD Hilir Perak. Selepas itu, majlis Penyampaian hadiah bermula. Majlis di selangi pula dengan persembahan tarian "bangau oh bangau daripada murid pra sekolah, tarian cha-cha (tahun 1), nyanyian (tahun 2) dan dikir barat (tahun 3).


            Majlis penyampaian hadiah disambung selepas itu. Acara kemuncak, iaitu Anugerah Tokoh Murid yang dianugerahkan kepada Adik Muhammad Adib bin Yusoff. Untuk menutup majlis beberapa persembahan lagi dipersembahkan iaitu nyanyian bahasa inggeris (tahun 4), lakonan (thn 5) dan nasyid dari kump. Soutun Najihin. Majlis berakhir kira-kira jam 6.00 petang. Alhamdulillah, berkat kerjasama dari guru-guru, majlis ini berjalan lancar.

Sunday, October 4, 2009

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri

           Pada hari jumaat lepas, kira-kira jam 10.30 pagi SKSK di bawah program RIMUP telah mengadakan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Jamuan Persaraan Pn Norul Aini Ab Hamid. Program 2 dalam 1 ini adalah di bawah kendalian Unit Hal Ehwal Murid.
       
           Majlis dimulakan dengan bacaan doa olah Ustaz Kamarazman Mohd Adnan. Diikuti dengan ucapan En Jamanhuri selaku Penolong Kanan HEM SKSK. Seterusnya sedikit tazkirah dari Ustaz Fadzlan dan Ucapan Guru Besar. Kemuncaknya acara menjamu selera. 2 buah kek telah disumbangkan oleh Pn Norul Aini untuk murid-murid. Antara juadah yang dihidangkan ialah lemang, rendang, nasi impit, kuah kacang, satay, roti canai, lai chi kang ,ais krim dan kuih-muih hari raya.
       
        Majlis diserikan lagi dengan penyampaian hadiah misteri raya. Pemenang dipilih bedasarkan pakaian yang dipakai pada hari tersebut. Bagi guru, hadiah dimenangi oleh En Roslan Mohd dan Pn Zainab Kamaruddin.  
 

Saturday, September 19, 2009

Salam `Idulfitri

Panitia Pendidikan Islam SK Sg Kerawai mengucapkan
"Selamat Hari Raya `Idilfitri"

kepada semua warga SKSK dan semua pengunjung blog ini. Kullu `Am Wa Antum Bikhayr..Semoga bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang.

Thursday, September 17, 2009

Adab Berhari Raya


                   Beberapa hari lagi, kita bakal menyambut kedatangan Syawal. Ramai yang gembira dan ada juga yang bersedih dengan pemergian Ramadhan. Inilah kegembiraan yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang berpuasa selain dapat melihat wajah Allah di hari Akhirat. Justeru, kita perlulah menjaga adab berhari raya. Antara adabnya ialah : 



Pertama:
Sunat melaungkan takbir sebaik sahaja diumumkan bahawa anak bulan Syawal telah sabit dilihat. Laungan takbir itu bukanlah semata-mata untuk memeriahkan suasana Hari Raya sahaja, tetapi sebagai tanda syukur kita terhadap anugerah yang telah dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada hamba-hambanya. 

Kedua: 
Menghidupkan malam Hari Raya dengan berzikir dan mengerjakan sembahyang terutama sembahyang sunat tasbih hukumnya adalah sunat. 

Kedua: 
Menghidupkan malam Hari Raya dengan berzikir dan mengerjakan sembahyang terutama sembahyang sunat tasbih hukumnya adalah sunat. 
 
Ketiga:  
Pada pagi Hari Raya pula, sunat mandi dengan niat kerana kedatangan Aidulfitri dan bukannya mandi semata-mata hanya untuk membersihkan diri. 

Keempat: 
Sunat memakai bau-bauan yang harum, membersihkan diri dengan bergunting rambut dan memotong kuku serta memakai pakaian yang paling elok, kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok. 

Kelima:
Sunat memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil sebelum ke masjid bagi menunaikan sembahyang Sunat Hari Raya.
 
Keenam: 
Menunaikan sembahyang sunat Hari Raya, bahkan ia adalah perkara yang paling penting dan utama dalam kita menyambut Hari Raya daripada perkara-perkara sunat yang lain. 

Ketujuh: 
Sunat doa mendoakan dan mengucapkan tahniah di antara satu sama lain seperti mengucapkan yang maksudnya: Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimanya daripada awak. Maksud daripada kalimah tahniah yang berbentuk doa yang diucapkan itu membawa makna semoga diterima puasa dan amal kebajikan yang dibuat di bulan Ramadhan. 

Kelapan :
“ Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan diikuti dengan 6 hari di bulan Syawal adalah itu puasa setahun “ Riwayat Muslim.

Tuesday, September 15, 2009

Majlis Penutup Bulan Kemerdekaan

           Semalam, 14 September 2009 telah diadakan Majlis Penutup Bulan Kemerdekaan Peringkat SK Sg Kerawai. Majlis diadakan di dewan SKSK pada jam 8.00 pagi. Pelbagai acara telah diadakan sempena bulan kemerdekaan. Antaranya Pertandingan mewarna, melukis, deklamasi sajak, pantun, nyanyian lagu patriotik dan tresure hunt. 
            Acara dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Muhamad Fadzlan diikuti nyanyian lagu Negaraku, Negeri Perak, Sekolah, Keranamu Malaysia, Tanggal 31 dan Jalur Gemilang. Selepas itu majlis diteruskan lagi dengan Bacaan Perutusan DYMM Seri Paduka Baginda YDP Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin oleh Pn Noora binti Bustanuddin. Diikuti Perutusan Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin oleh En Roslan Mohd dan Perutusan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom oleh En Shahimi bin Mohd Yusoff.
           
             Majlis diserikan lagi dengan penyampaian hadiah kepada pemenag-pemenang pertandingan yang diadakan. Tahniah diucapkan kepada semua yang berjaya. Majlis berakhir jam 9.30 pagi.

Saturday, September 12, 2009

Memburu Lailatul Qadar


         BULAN Ramadan merupakan satu bulan yang penuh keberkatan di mana Allah SWT meluaskan rahmat-Nya agar menaungi seluruh hamba-hamba- Nya yang tekun beribadat dan taat kepada-Nya dengan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. 

         Pada bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding 1,000 bulan, iaitu lailatul qadar. Padanyalah diturunkan al-Quran yang dijadikan panduan bagi seluruh umat Islam.

          Firman Allah SWT: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatulqadar itu? Lailatul qadar ialah malam yang paling baik berbanding 1,000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar. (al-Qadr: 1-5).

        Oleh itu, sesiapa yang beribadat pada bulan Ramadan dan menepati malam lailatul qadar, ganjaran pahala amalannya itu melebihi ibadah yang dilakukannya selama 1,000 bulan.

Apakah itu Lailatul Qadar?

        Tentang makna al-Qadr, sebahagian ulama berpendapat ia bermaksud pengagungan. Dari sini dapat kita fahami bahawa lailatul qadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana diturunkan al-Quran pada malam tersebut, turunnya para malaikat, melimpahnya rahmat dan keampunan Allah serta Allah akan menganugerahkan keagungan (kemuliaan) kepada mereka yang beribadat pada malam itu.

     Al-Qadr juga bermaksud penetapan. Oleh itu, lailatul qadar juga bermaksud malam penetapan segala urusan yang bakal berlaku pada tahun berikutnya. Ini jelas bertentangan dengan tanggapan kebanyakan umat Islam di Malaysia yang beranggapan bahawa malam Nisfu Syaaban merupakan malam di mana Allah menetapkan apa yang ditakdirkan untuk kita pada tahun berikutnya.

      Mereka berhujah dengan firman Allah SWT: Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (agar hamba-hamba Kami tidak ditimpa azab). (Kami menurunkan al-Quran pada malam itu kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta ketetapan yang bakal berlaku. (al-Dukhan: 3-4.

       Menurut tafsiran 'Ikrimah, malam yang diberkati dan ditetapkan segala urusan manusia itu adalah malam Nisfu Syaaban. Namun, pendapat ini tertolak kerana nas-nas yang sahih menjelaskan bahawa al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan. Malam yang diberkati itu adalah malam lailatul qadar sebagaimana yang terdapat di dalam surah al-Qadr yang penulis paparkan sebelum ini.

     Al-Hafiz Ibn Kathir r.h ketika mentafsirkan surah al-Dukhan, ayat 3-4, katanya: "Allah berfirman menjelaskan tentang al-Quran al-Adzim bahawa al-Quran diturunkan pada malam yang penuh berkat, iaitu malam al-Qadr sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Qadr: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr. (al-Qadr: 1).

       Hal itu terjadi pada bulan Ramadan sebagaimana firman Allah: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa ialah) bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran padanya...(al-Baqarah: 185).

      Pengajaran di sini ialah sesiapa yang mengatakan bahawa malam yang dimaksudkan (dalam surah al-Dukhaan itu) adalah malam Nisfu Syaaban seperti yang diriwayatkan daripada 'Ikrimah, bererti dia telah menjauhkan diri dari pengertian asalnya. Ini kerana, nas al-Quran menegaskan bahawa yang dimaksudkan dengan malam yang penuh berkat itu (lailatul qadar) adalah pada bulan Ramadan. (Rujuk Kitab Tafsir al-Quran al-'Adzim karya al-Hafiz Ibn Kathir, jil. 4, ms. 137).

     Syeikh Muhammad Abdul Salam r.h berkata: "Keyakinan bahawa malam Nisfu Syaaban adalah malam al-Qadr adalah keyakinan yang salah". Demikian kesepakatan para ulama hadis sebagaimana dijelaskan oleh Ibn Kathir di dalam tafsirnya. Ketika menjelaskan Sunan al-Tirmizi, Ibn al-Arabi mengatakan bahawa firman Allah di dalam surah al-Dukhan, ayat 3: Sesungguhnya kami menurunkan al-Quran bermaksud diturunkan pada malam Nisfu Syaaban adalah tidak benar kerana Allah tidak pernah menurunkan al-Quran pada bulan Syaaban.

       Ayat itu harus difahami secara lengkapnya sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran pada malam al-Qadr di mana lailatul qadar itu hanya wujud pada bulan Ramadan. Hal ini juga ditegaskan oleh Allah di dalam surah al-Baqarah, ayat 185 di atas tadi.

      Keyakinan al-Qadr berlaku pada malam Nisfu Syaaban bertentangan dengan Kitabullah dan jauh terpesong dari isi kandungannya.

      Perlu kami ingatkan bahawa Allah sendiri menegaskan tentang malam itu di dalam surah al-Dukhan, ayat 3: (Kami menurunkan al-Quran pada malam itu kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta ketetapan bermaksud pada malam al-Qadr dijelaskan segala hal kepada malaikat bukannya pada malam Nisfu Syaaban. (Rujuk Kitab al-Sunan wa al-Mubtada'at karya Muhammad Abdul Salam Khadr al-Syaqiry, ms. 156).

Bilakah berlakunya Lailatul Qadar?

       Sabda Rasulullah SAW: Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil daripada 10 malam terakhir di bulan Ramadan. (riwayat al-Bukhari di dalam sahihnya, no: 2017.

       Dalam sabdanya yang lain baginda SAW menyebut:
      "Carilah (Lailatul Qadar) pada 10 malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah Dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki tujuh malam terakhir." (riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1165).

      Kombinasi hadis di atas dapatlah kita simpulkan bahawa kita sepatutnya menggandakan ibadah pada malam yang ganjil bermula 10 malam terakhir pada bulan Ramadan terutamanya pada malam ke 23, 25, 27 dan 29.

Friday, September 11, 2009

Majlis Persaraan Pn Norul Aini binti Ab Hamid

            Sekali lagi, SK Sungai Kerawai kehilangan seorang lagi guru yang berdedikasi. Setelah persaraan Pn Nor Zaerah Abdul Majid pada November 2008 diikuti persaraan Pn Hjh Wan Latifah pada 29 Mei 2009, kini Pn Norul Aini pula bersara wajib pada usia 56 tahun.

 

         Sebenarnya tarikh persaraan Pn Norul Aini atau lebih mesra dengan panggilan "Kak Na" jatuh pada 10 September 2009. Namun, oleh kerana murid tahun 6 menghadapi peperiksaan UPSR,maka persaraan beliau dibuat pada hari ini sekaligus menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke 56. Majlis ini dihadiri oleh suami & anak bongsu beliau, semua murid, guru, ibu bapa dan AJK PIBG SKSK. Turut hadir ialah dua orang wartawan dari akhbar Kosmo! dan Sinar Harian.



             Persaraan Pn Norul Aini sangat istimewa kerana beliau telah berkhidmat selama 30 tahun di sekolah ini. Di sinilah beliau bermula (first posting) dan di sini jugalah beliau menamatkan khidmatnya. Antara murid beliau yang kini juga menjadi tenaga pengajar di SKSK ialah Pn Siti Suraini, En Kamal Kumar dan Cik Isliaha. Sepanjang 30 tahun berkhidmat di SKSK beliau telah mengajar 2 generasi Kg Sungai Kerawai.



             Terlalu banyak sumbangan yang telah diberikan oleh Pn Norul Aini. Anak-anak yang tidak pandai membaca dan mengira, ramai yang telah pandai membaca dan mengira berkat tunjuk ajar dari beliau. Beliau sangat sinonim dengan tahun 1. Kesabaran dan sifat penyayang beliau kepada kanak-kanak sangat jelas dan itulah penyebab beliau diberi tanggungjawab menjaga murid tahun 1.



                Alhamdulillah, majlis yang diadakan pada hari ini berjalan lancar. Semoga Pn Norul Aini gembira dan sentiasa mengingati warga SKSK. Bagi kami di SKSK kenangan bersama Kak Na akan terus terpahat di hati. Kelibatmu pasti kami rindui. Semoga berbahagia di samping keluarga tersayang melayari dunia persaraanmu.

 



Thursday, September 3, 2009

Salam Nuzul Quran



Malam al-Qadr Anugerah Ilahi
Oleh Zahazan Mohamed

Tarikh tepat Nuzul al-Quran 24 Ramadan berdasarkan surah al-Qadr, ad-Dukhan

PERISTIWA agung dalam sejarah umat Islam yang berlaku pada Ramadan ialah turunnya kitab suci al-Quran atau disebut Nuzul al-Quran.

Perkara itu dinyatakan dalam al-Quran menerusi firman Allah yang bermaksud: "Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah." (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Firman-Nya dalam ayat pertama surah al-Qadar yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba Kami ditimpa azab)." (Surah al-Dukhan, ayat 3)

Nuzul adalah perkataan Arab yang memberi makna turun atau berpindah, iaitu berpindah daripada satu tempat ke tempat yang lain, manakala al-Quran bermaksud bacaan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca manusia.

Al-Quran juga dikatakan himpunan kerana dalam kitab suci itu terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.

Al-Syeikh Ab Rahman al-Sa'adiy menjelaskan dalam tafsir Taysir al-Karim al-Rahman, 'malam yang berkat' yang dinyatakan Allah dalam surah al-Dukhan adalah malam yang penuh kebaikan dan rahmat, yang lebih besar keutamaannya daripada amalan seribu bulan. Maka, Allah memilih tarikh turun kalam-Nya buat pemimpin umat sejagat Nabi Muhammad SAW berlaku pada hari mulia iaitu malam al-Qadr.

Al-Syeikh Manna' Qattan dalam Mabahith Fi Ulum al-Quran, firman Allah itu secara dasarnya menunjukkan penurunan berlaku pada Ramadan dan secara khususnya ia diturunkan pada malam al-Qadr, suatu anugerah Allah buat mereka yang menghidupkan malam pada Ramadan.

Walaupun umat Islam di Malaysia secara tradisinya menyambut peristiwa Nuzul Al-Quran pada 17 Ramadan, namun sesungguhnya pendapat yang lebih tepat mengenai turunnya al-Quran ialah pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadan bersamaan 13 Ogos 610 Masihi.

Pendapat yang mengatakan berlakunya pada 17 Ramadan adalah berpandu pada ayat 41, surah al-Anfal memfokuskan kepada peristiwa perang Badar bukannya al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: "... jika kamu beriman kepada Allah dan apa-apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad SAW) pada hari Furqan, iaitu di hari bertemunya dua pasukan (di perang Badar, antara muslimin dan kafirin)..." (Surah al-Anfal, ayat 41)

Menurut riwayat yang dikemukakan Ibn Kathir dalam tafsirnya daripada Ibn Abbas, ayat itu adalah penjelasan mengenai hukum pembahagian harta rampasan perang (seperti yang terdapat pada awal ayat) iaitu firman Allah yang bermaksud: "Ketahuilah sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul-Nya, kerabat (Rasul), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil (orang yang sedang dalam perjalanan)...

Justeru tarikh lebih tepat mengenai Nuzul al-Quran adalah pada 24 Ramadan kerana ia berdasarkan ayat pertama, surah al-Qadr dan ayat 1 hingga 4, surah ad-Dukhan.

Riwayat Ibn Abbas dan pandangan ini disokong majoriti mufassirin, al-Quran yang diturunkan pada malam 'Lailatul Qadar' seperti disebut itu adalah al-Quran yang turun sekali gus ke 'Baitul Izzah' di langit ke dunia.

Sedangkan al-Quran yang diturunkan ke bumi dan diterima Rasulullah SAW sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama 23 tahun. Menurut riwayat daripada al-Hakim, al-Baihaqiy dan al-Nasaei daripada Ibn Abbas, beliau menjelaskan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Al-Quran diturunkan sekali gus oleh Allah ke langit dunia pada malam al-Qadr kemudian ia diturunkan secara berperingkat dalam masa 20 tahun."

Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun (13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah). Ayat dan surah yang diturunkan sebelum peristiwa hijrah dikenali sebagai Makkiyah sedangkan yang diturunkan selepas peristiwa hijrah dikenali sebagai Madaniyyah.

Tujuan Allah menurunkan secara beransur-ansur adalah bagi memenuhi objektif berikut:



Supaya lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Orang akan enggan melaksanakan suruhan dan larangan jika suruhan dan larangan itu diturunkan sekali gus dalam kadar yang banyak.

Hal itu disebut oleh Bukhari daripada riwayat 'Aisyah: "Antara ayat itu ada yang nasikh dan ada yang mansukh, sesuai dengan kamaslahatan. Ia tidak dapat dilakukan jika al-Quran diturunkan sekali gus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan adanya nasikh dan mansukh)
Turunnya sesuatu ayat sesuai dengan peristiwa yang terjadi akan lebih berkesan dan lebih berpengaruh di hati.
Memudahkan hafalan. Orang musyrik menanyakan mengapa al-Quran tidak diturunkan sekali gus, seperti disebut dalam firman Allah yang bermaksud: "Orang yang kafir berkata: "Mengapa tidak diturunkan al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekali gus?" Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu..." (Surah Al Furqaan, ayat 32)
Antara ayat itu adalah jawapan daripada pertanyaan atau penolakan suatu pendapat atau perbuatan, seperti dikatakan oleh Ibnu 'Abba, "Hal ini tidak dapat terlaksana jika al-Quran diturunkan sekali gus.
Penurunan al-Quran ini pula berlaku dalam berbagai bentuk. Menurut Safiyurrahman al-Mubarakfuriyy dalam al-Rahiq al-makhtum, Nabi Muhammad SAW diwahyukan mengikut pendekatan berikut :

– Menerusi mimpi yang benar ( al-Rukya al-Sadiqah ). Malaikat memasukkan wahyu itu ke dalam hatinya. Dalam hal ini, Nabi SAW tidak melihat sesuatu apa pun, hanya Baginda berasa bahawa itu sudah berada di dadanya.

Contohnya, Nabi SAW pernah bersabda mengatakan: "Ruhul Quddus mewahyukan ke dalam kalbuku bahawa seseorang itu takkan mati sehingga dia menyempurnakan rezekinya yang ditetapkan Allah."

– Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW menyerupai seorang lelaki yang mengucapkan kata-kata kepadanya dan peristiwa seperti ini sering disaksikan sahabat.

– Wahyu datang kepadanya seperti gemercingnya loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi SAW. Kadang-kadang pada keningnya terdapat peluh, walaupun turunnya wahyu itu pada musim dingin. Ada ketikanya, unta baginda terpaksa berhenti dan duduk kerana berasa amat berat.

Diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit: "Aku adalah penulis wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Aku lihat Rasulullah SAW ketika turunnya wahyu itu seakan-akan diserang demam yang kuat dan peluhnya bercucuran seperti permata. Kemudian selepas selesai turunnya wahyu, barulah Baginda kembali seperti biasa."

– Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW dalam rupanya yang sebenar seperi dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Muhammad telah melihatnya pada kali yang lain (kedua). Ketika (ia berada) di Sidratulmuntaha." (Surah an- Najm, ayat 13 dan 14)

– Malaikat mewahyukan kepada Nabi dari atas langit seperti yang berlaku dalam peristiwa Isra' dan Mikraj.

– Sesetengah ulama berpendapat Baginda SAW juga pernah berbicara secara langsung dengan Allah dan menerima wahyu seperti yang berlaku pada Nabi Musa. Perkara itu adalah suatu khilaf di kalangan ulama.


Al-Quran mempunyai beberapa fungsi penting antaranya ialah sebagai mukjizat Nabi Muhammad SAW. Al-Quran adalah bukti kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad SAW, sekali gus menjadi bukti ia firman Allah bukannya ucapan atau ciptaan Nabi Muhammad SAW sendiri.

Rasulullah SAW menjadikan al-Quran sebagai senjata bagi menentang kafir Quraisy. Kita dapati mereka sememangnya tidak mampu menghadapinya, padahal mereka mempunyai kemahiran menggubah bahasa yang indah dalam ucapan serta sajak mereka.

Al-Quran adalah sumber hukum dan aturan hidup. Ayat al-Quran mengandungi peraturan mengenai hukum siasah negara, sosial, pendidikan, pengadilan, akhlak dan sebagainya. Semua aturan dan hukum ini wajib dijadikan sebagai pandangan hidup kaum muslimin dan umat manusia untuk mengatasi permasalahan hidup yang dihadapinya.

Sememangnya penyelesaian diberikan syariat Islam adalah penyelesaian sebenar kerana ia satu-satunya perundangan yang dapat memenuhi fitrah manusia. Kemampuan syariat Islam menyelesaikan pelbagai permasalahan menjadikan al-Quran mukjizat abadi paling menonjol di muka bumi.

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Bahasa al-Quran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Friday, August 28, 2009

Banyakkan Berdoa

          Sedar tak sedar, sudah seminggu kita berpuasa..Bagaimana agaknya kualiti puasa kita tahun ni ye? Mudah-mudahan ianya lebih baik daripada tahun lepas. Dalam bulan ini juga kita digalak untuk membanyakkan doa. Nabi S.A.W. sendiri menganjurkan kita satu doa yang afdhal diamalkan dalam bulan ini. Doanya seperti berikut :

            Selamat Beramal..

Monday, August 24, 2009

Amalan-amalan Sunat Pada Bulan Ramadhan

1. Menyegerakan berbuka setelah masuk waktu maghrib. Sunat bebuka dengan kurma dan segelas air.

Hadis Qudsi yang bermaksud;
“Sesungguhnya hamba-hamba- Ku yang paling Aku sukai ialah mereka yang menyegerakan berbuka.” (Riwayat: Imam Ahmad dan Tirmidzi)

“Manusia akan sentiasa berada dalam kebaikan selama ia menyegerakan dalam berbuka.” -HR Bukhari Muslim

“Apabila makanan telah dihidangkan, maka dahulukanlah makan daripada solat Maghrib dan janganlah kamu tergesa-gesa ketika makan makanan malam kamu.” -HR Bukhari Muslim

2. Membaca doa ketika berbuka:

Ertinya;
“Ya ALLAH, untuk Engkau puasaku, dan dengan Engkaulah aku beriman, dan atas adanya rezeki Engkaulah aku berbuka, disertai dengan rahmat Engkau wahai Tuhan yang Maha Pengasih.”

3. Melambatkan makan sahur. Sebaik-baiknya dua jam sebelum Subuh.

Jabir r.a menegaskan bahawa Nabi SAW pernah bersabda:
“Barang siapa yang akan berpuasa hendaklah dia makan sahur sekalipun hanya sedikit” (Riwayat: Imam Ahmad)

4. Membanyakkan ibadah di malam hari sepanjang berpuasa di bulan Ramadan. Solat tarawih pada setiap malam Ramadan dan witirnya.

5. Mulai malam 15 Ramadan sampai akhir bulan, membaca doa Qunut pada rakaat akhir solat witir.

6. Berdoa dan berzikir setiap malam sesudah witir.

7. Bertadarus samada sendiri atau secara berkumpulan.

8. Beriktikaf di masjid terutama pada 10 hari terakhir Ramadan.


“Pada 10 hari terakhir (di bulan Ramadan), Rasulullah lebih tekun mendirikan solat melebihi hari-hari yang lain.”

9. Membanyakkan ibadah malam terutama di malam 10 yang terakhir di bulan Ramadan.

Dalam suatu hadis yang bermaksud;
“Sesungguhnya Nabi SAW manakala telah memasuki 10 hari terakhir di bulan Ramadan, baginda selalu melakukan solat malam, dan membangunkan ahli keluarganya untuk beribadah bersama.” (Riwayat: Bukhari & Muslim)

10. Merperbanyakkan sedekah. Tidak kira sedekah apa-apapun. Harta, makanan, pakaian atau apa sahaja. Jika tidak mampu, berilah senyuman kerana ia adalah sedekah yang paling ringan.

“Sedekah yang paling afdhal (baik) adalah sedekah yang dikeluarkan dalam bulan Ramadan.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

11. Menjamu orang-orang yang berbuka puasa. Elok jika majlis berbuka dibuat dari rumah ke rumah atau di masjid.


Sabda Rasullullah SAW yang bermaksud:

“Barangsiapa yang memberi makan (untuk berbuka) kepada orang yang berpuasa, maka ia beroleh puasa seperti pahala orang tersebut tanpa mengurangi pahala orang itu sedikit pun.”

12. Menjauhi perkara yang tidak berfaedah.

13. Mendapat keampunan apabila beristighfar sepanjang hari di bulan puasa.

14. Membanyakkan ibadah di bulan Ramadan kerana mengharap keredaan ALLAH SWT.

Sunday, August 23, 2009

Kemusykilan Puasa

Soalan :
Apakah hukum menggunakan 'inhaler' (bagi yang berpenyakit asma) semasa berpuasa?.

Jawapan :
Menggunakan 'inhaler' semasa berpuasa boleh membatalkan puasa. Dalam hal ini perlu dilihat orang yang berpenyakit asma yang kehidupan hariannya sepanjang hayat hanya bergantung kepada penggunaan 'inhaler (tidak boleh tidak) maka gugurlah kewajipan berpuasa ke atas dirinya dan dia hanya diwajibkan membayar fidyah iaitu secupak beras untuk setiap hari yang ditinggalkan.

Tetapi jika penggunaan 'inhaler' hanya pada waktu ia memerlukan sahaja (keadaan kritikal) dan kebetulan semasa itu ia berpuasa, puasa tersebut dihukumkan terbatal dan ia wajib menqqada' semula puasa tersebut.

***********************************************************************************

Soalan :
Adakah sah puasa sekiranya seseorang memberus gigi selepas azan subuh berkumandang untuk menunaikan solat subuh di dalam bulan puasa?

Jawapan :
Sah puasa memberus gigi sesudah azan subuh berkumandang. Perbuatan tersebut tidak membatalkan puasa.

***********************************************************************************

Soalan :
Apakah hukumnya samaada terbatal ataupun tidak puasa sekiranya seseorang itu memakai kanta sentuh (contact lens) dibulan puasa kerana dia akan menitikkan ubat mata (lens drop) apabila matanya kering.

Jawapan :
Sah puasanya kerana mata bukanlah rongga yang terbuka.

************************************************************************************

Soalan :
Apakah hukum seorang perempuan mengandung yang meninggalkan puasa di bulan Ramadhan kerana dikhuatiri memudaratkan diri dan anak di dalam kandungannya?

Jawapan :
Seorang perempuan yang sedang mengandung harus berbuka puasa jika dikhuatiri dengan sebab puasa tersebut akan menjejaskan diri dan anak di dalam kandungannya. Begitu juga keadaannya adalah harus meninggalkan puasa bagi perempuan yang sedang menyusukan anak sekiranya dikhuatiri akan menjejaskan kandungan air susu tersebut.

Ini berdasarkan keterangan sebuah hadis :

Maksudnya : Dari Anas r.a. Rasulullah S.A.W. telah berkata “Sesungguhnya Allah telah memaafkan setengah solat dari orang musafir, dan memaafkan pula puasanya, dan Dia memberikan (kemurahan) kepada wanita yang sedang hamil dan yang sedang menyusui".

-Riwayat Bukhari dan Muslim-

Walau bagaimanapun puasa yang ditinggalkan itu hendaklah diqada’ atau digantikan pada hari yang lain serta fidyah.

*************************************************************************************

Sumber : Jabatan Mufti Negeri Selangor

Saturday, August 22, 2009

KELEBIHAN SAHUR & TAMAR


“Sahurlah kamu kerana dalam sahur itu ada berkat.”
-HR Bukhari dan Muslim-

Ibadat puasa adalah satu perkara yang dituntut dan diwajibkan ke atas semua umat Islam yang telah cukup umur dan berkemampuan. Dalam mengerjakan ibadat puasa, sahur adalah satu amalan sunat yang digalakkan kepada mereka yang berpuasa. Namun dalam era globalisasi yang sentiasa bergerak pantas ini, umat muslimin menjadikannya sebagai satu alasan untuk tidak bersahur. Mengantuk dan letih kerap dijadikan jawapan kepada keengganan bersahur walaupun ia telah dianjurkan oleh Rasulullah SAW kepada setiap yang berpuasa.

Umum begitu arif dengan kaum lain yang juga mengerjakan puasa, namun apakah yang membezakan amalan puasa kaum muslimin dengan mereka? Perbezaannya jelas terletak di dalam pengambilan makanan sahur yang mana mereka tidak bersahur. Ramai juga yang tidak menyedari bahawa pada waktu bersahur juga adalah waktu yang mustajab untuk berdoa dan Allah SWT tidak akan menghampakan doa mereka.

Bagi mereka yang bersahur Allah SWT akan memberi keuntungan yang berlipat kali ganda. Selain daripada memperolehi kekenyangan dan kekuatan untuk mengerjakan ibadat puasa pada sebelah siangnya, mereka juga akan memperolehi berkat yang diturunkan pada sepanjang hari mereka melaksanakan ibadat tersebut.

Ibnu Hajar dalam mengulas Sahih Bukhari telah menyenaraikan beberapa kelebihan puasa, yang antara lainnya ialah:


• Menuruti sunnah;

• Membezakan diri dengan Ahlul Kitab;

• Menambah kekuatan untuk beribadat;

• Meningkatkan keikhlasan dalam beribadat;

• Menghilangkan perasaan marah yang diakibatkan oleh kelaparan dan

• Mendapat peluang untuk mengingati Allah dengan berzikir dan berdoa.

Namun, kita tidak digalakkan untuk mengambil terlalu sedikit atau terlalu banyak makanan pada waktu sahur. Memadai dalam anggaran yang secukupnya bagi membantu untuk mengerjakan puasa pada keesokan harinya kerana pengambilan makanan yang terlalu banyak atau sikit pasti akan menimbulkan rasa kurang selesa. Sebaik-baik sahur yang dianjurkan ialah dengan memakan buah kurma atau tamar. Bersahur dengan memakan kurma adalah sebahagian daripada sunnah Nabi, justeru jika kita mengamalkannya, Allah SWT akan memberikan pahala sebagai ganjaran.

Abu Hurairah ra berkata, “Sabda Rasulullah SAW: Sebaik-baik makanan sahur bagi orang mukmin adalah kurma.” -HR Ibnu Hibban & Baihaqi

Seandainya keletihan menimbulkan kesukaran untuk bersahur, Rasulullah SAW menganjurkan agar tetap mengambil sebiji kurma ataupun memadai dengan seteguk air untuk mengisi perut.

Waktu sahur yang paling afdhal ialah pada waktu menjelang Subuh, iaitu kira-kira 10 atau 15 minit sebelum bilal melaungkan azan Subuh. Rasulullah SAW juga pernah bersabda bahawa waktu bersahur itu adalah bersamaan dengan bacaan 50 ayat suci Al-Quran.

Selamat bersahur..

Thursday, August 20, 2009

Lusa Puasa..



Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Engku Tan Sri Dato Sri Ibrahim Engku Ngah telah mengisytiharkan bahawa tarikh permulaan Ramadhan @ puasa ialah pada hari Sabtu, 22 September 2009 bersamaan 1 Ramadhan 1430H. Selamat berpuasa kepada semua umat Islam..Ahlan Wa Sahlan Ya Ramadhan..

Melihat Anak Bulan Ramadhan




Petang ini, sebanyak 29 tempat di seluruh negara akan mengadakan proses melihat anak bulan ramadhan sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Majlis Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja. Tempat-tempat tersebut ialah di Pontian Kecil Johor; Balai Cerap Al-Khawarizmi Kampung Balik Batu, Tanjung Bidara Melaka; Telok Kemang, Port Dickson, Negeri Sembilan; Bukit Melawati, Kuala Selangor; Pulau Angsa, Kuala Selangor; Bukit Jugra, Banting Selangor; Pantai Pasir Panjang, Mukim Pengkalan Baru Daerah Manjong Perak; Pantai Acheh Pulau Pinang; Kampung Pulau Sayak, Kuala Muda Kedah; Pemandangan Indah,Pulau Langkawi; Menara Alor Setar, Alor Setar Kedah,Bukit Besar Kuala Terengganu; Bukit Kemuning, Kemaman; Pulau Perhentian, Besut; Balai Cerap Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) Setiu, Terengganu, Bukit Peraksi Pasir Puteh, Kelantan; Bukit Kampung Tembeling Mukim Manjur Daerah Olak Jeram Kula Krai Kelantan; Menara Bangunan SEDC, Kota Baharu Kelantan; Tanjung Lubang Miri, Sarawak; Teluk Bandung, Kuching Sarawak; Tanjung Batu, Bintulu Sarawak, Balai Cerap Al-Biruni, Tanjung Dumpil Sabah; Bukit Tanjung Batu Nenasi, Pahang; Gunung Berincang Cameron Highlands; Bukit Pelindong, Kuantan, Pahang; Menara Universiti Malaysia Sabah, kampus Antarabangsa Labuan; Menara Kuala Lumpur; Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya dan Kuala Sungai Baru, Simpang Empat Perlis.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja akan mengisytiharkan pada malam ini,tarikh permulaan puasa yang ditetapkan melalui radio dan televisyen. Sama-samalah kita nantikan..

Wednesday, August 19, 2009

Ramadhan Kareem..



KELEBIHAN RAMADHAN

Bulan Ramadhan merupakan bulan yang mempunyai banyak kelebihan. Kedatangannya selepas dua bulan yang juga tidak kurang keistimewaannya iaitu Rejab dan Sya'ban. Bagi tujuan menyuburkan rasa tanggungjawab dan rasa ingin menambahkan ibadat kepada Allah sepanjang Ramadhan ini, di sini dibawa beberapa hadis yang menceritakan mengenai kelebihannya.

1. Abu Hurairah menyatakan : Telah bersabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : Apabila telah tibanya Ramadhan, dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka dan diikat segala syaitan. -Hadis dikeluarkan oleh imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad dan Baihaqi-

2. Daripada Abu Hurairah daripada Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud :Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan nescaya akan diampuninya segala dosanya yang telah lalu. - Diriwayat oleh imam Nasai'e, Ibn majah, Ibn Habban dan Baihaqi-

3. Abu Hurairah telah berkata : Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu. - Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai'e,Malik,Ahmad dan Baihaqi-

4. Daripada Abu Hurairah telah berkata: Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya melainkan tiga golongan : Syirik kepada Allah, meninggalkan sunnah dan perjanjian (dilanggar). Telah berkata Abu Hurairah : Maka aku tahu perkara itu akan berlaku, maka aku bertanya: Wahai Rasulullah! adapun syirik dengan Allah telah kami tahu, maka apakah perjanjian dan meninggalkan sunnah? Baginda S.A.W bersabda : Adapun perjanjian maka engkau membuat perjanjian dengan seorang lain dengan sumpah kemudian engkau melanggarinya maka engkau membunuhnya dengan pedang engkau, manakala meninggal sunnah maka keluar daripada jamaah(Islam).-Hadis riwayat Ahmad, Al-Hakim, dan Baihaqi-

5. Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rassullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : Setiap amalan anak Adam baginya melainklan puasa maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara.Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata : Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai'e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi-

PENERANGAN HADIS

1. Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

2. Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

3. Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

4. Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

5. Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

6. Kita mesti menghidupkan sunnah yang mana yang paling besar ialah berada dalam jemaah Islam terutama di dalam mengembalikan semula khilafah Islamiah yang telah lama dihancurkan iaitu pada 1924.

7. Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

8. Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

9. Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

10. Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

11. Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

Kursus Kecemerlangan Bahasa Arab Sekolah Rendah j-QAF

Selama 2 hari bermula 18 Ogos sehingga 19 Ogos 2009, Pejabat Pelajaran Daerah Hilir Perak dengan kerjasama IPGM Kampus Tuanku Bainun, Bukit Mertajam telah mengadakan satu Kursus Kecemerlangan Bahasa Arab di Dewan Melor, Rumah Rehat Majlis Perbandaran Teluk Intan. Kursus ini melibatkan semua guru Bahasa Arab dan beberapa orang Guru Pemulihan Jawi.

Kursus ini memberi penekanan kepada dua aspek utama iaitu penggunaan bahasa kelas dan penghasilan bahan bantu mengajar. Alhamdulillah kursus ini telah berjalan dengan jayanya. Majlis Penutup telah disempurnakan oleh En Mohd Fadzli bin Dahlan dari IPGM Tuanku Bainun. Semua peserta telah diberi sijil penyertaan oleh pihak IPGM Tuanku Bainun.

Wednesday, May 27, 2009

Peristiwa Penting di bulan Jamadil Akhir


Peperangan Zi Qarad adalah peristiwa penting yang berlaku pada Jamadilakhir, bulan dalam kalendar Islam sekarang.

Kehebatan tentera Islam pada zaman Rasulullah juga tercatat dalam Peperangan Yarmuk pada tahun ke-13 Hijrah antara tentera Rom dan Islam.

Tentera Rom disertai lebih 100,000 orang kalah kepada tentera Islam yang hanya 30,000 orang dalam peperangan itu.

Tentera Islam dipimpin oleh Khalid bin Al Walid dan Abu `Ubaidah.

Kemenangan berpihak kepada tentera Islam. Ada pandangan yang mengatakan peperangan itu berlaku pada Rejab tahun ke-15 Hijrah.

Peristiwa penting lain dalam Jamadilakhir :-

- Peperangan Al Jamal yang berlaku di luar kota Basrah, Iraq pada 10 Jamadilakhir tahun ke-36 Hijrah antara Amir Al Mu'minin Ali bin Abi Talib.

Peperangan ini disertai beberapa sahabat antaranya `Ammar bin Yasir dan Abdullah bin Al Abbas. Dalam peperangan itu mereka menghadapi kumpulan yang diketuai oleh `Aisyah binti Abi Bakar, Talhah bin Ubaidillah dan Az Zubair bin Al `Awwam yang menuntut supaya khalifah menjalankan penyiasatan dan pembelaan terhadap pembunuhan Usman bin Affan.

Peperangan itu dimenangi oleh tentera Ali bin Abi Talib. Ada pendapat yang mengatakan bahawa peperangan itu berlaku pada Jamadilawal.

Tuesday, May 26, 2009

CIRI-CIRI PELAJAR BERMOTIVASI


 Berpegang kuat kepada prinsip hidup sendiri
 Tidak mengaku kalah kepada cabaran dan halangan.
 Bersemangat untuk datang ke kuliah.
 Bersedia untuk belajar bersungguh-sungguh.
 Banyak bertanya ketika diberi peluang untuk bertanya.
 Suka mengulangkaji walau di mana berada.
 Suka membuat nota. Imej diri sebagai pelajar yang pintar sentiasa dijaga.
 Selalu berjumpa dengan pensyarah.
 Menghormati pelajar lain yang lebih pandai.
 Mengekalkan hubungan baik dengan rakan-rakan dan pensyarah.
 Suka kepada ujian dan peperiksaan yang dijalankan.
 Tidak suka membuang masa.
 Sentiasa beribadat dan berdoa kepada Allah S.W.T.
 Suka bangun malam untuk mengulangkaji pelajaran dan menyiapkan tugasan sekolah.
 Tidur bukanlah satu hobi tetapi sebagai satu keperluan.
 Cinta kepada ilmu pengetahuan dan berusaha untuk menambah pengetahuan yang sedia ada.
 Berusaha untuk mempertingkatkan kemahiran dan mendapatkan pengetahuan baru.

Monday, May 25, 2009

Peperiksaan Pertengahan Tahun bermula...



Ma`at Tawfiq Wan Najah...

Sunday, May 24, 2009

Pakaian Perempuan Ketika Sembahyang


Menurut Imam asy-Syirazi Rahimahullah dalam kitab al-Muhazzab, adalah disunatkan bagi perempuan yang merdeka dan khuntsa bersembahyang dengan memakai pakaian yang terdiri daripada baju yang labuh, panjang dan menutupi seluruh badan hingga kedua kaki, memakai penutup kepala dan leher dari kain yang tebal dan menggunakan telekung (satu kain tebal yang lain yang menyelimuti pakaian tadi).

Disunatkan juga telekung atau pakaian yang di sebelah luar sekali itu tebal, agar tidak membayangkan anggotanya. Juga telekung atau pakaian yang di sebelah luar tadi dijauhkan atau direnggangkan dari badan seseorang perempuan itu apabila dia ruku' atau sujud, supaya tidak membayangkan pakaiannya yang di sebelah dalam.

Khatib asy-Syarbini dalam kitab Mughni al-Muhtaj mensyaratkan pakaian (satir) yang digunakan untuk menutup aurat samada dalam sembahyang atau luar sembahyang ialah tebal yang boleh menutup anggota aurat. Bahkan ia hendaklah melindungi atau menutup warna kulit daripada dilihat dengan pandangan biasa. Dengan perkataan lain tidak menampakkan atau membayangkan bentuk badan.

Kebanyakkan ulama Syafii mensyaratkan hendaklah pakaian itu menutup dan menyelubungi seluruh anggota aurat.

Berdasarkan syarat-syarat yang dijelaskan, maka berikut adalah beberapa contoh-contoh pakaian yang tidak memenuhi syarat-syarat di atas:

1. Baju atau pakaian yang berlubang-lubang

Aurat yang boleh dilihat melalui pakaian yang berlubang-lubang, contohnya pakaian yang ditenun dengan jarang, walaupun tebal, masih tidak memenuhi syarat satir, iaitu menyelubungi dan menutup keseluruhan aurat.

2. Pakaian yang jarang atau nipis

Adapun maksud dari pakaian yang nipis atau jarang itu ialah pakaian yang boleh menampakkan warna kulit apabila memakainya. Untuk jelasnya adalah tidak tercapai maksud as-satir dengan memakai pakaian berikut dalam sembahyang:

a)Sekiranya di dalam sembahyang dia memakai pakaian yang nipis atau jarang untuk menutup keseluruhan auratnya tanpa dilapis dengan pakaian lain seperti telekung dan seumpamanya, maka pakaian seperti ini tidak memenuhi syarat satir kerana tidak tercapai maksud dan pengertian tebal dan tidak pula menyembunyikan warna kulit. Ini disandarkan kepada hadis Rasulullah Shallallahu ˜alaihi wasallam:

Maksudnya: Dari ˜Aisyah Radiallahu anha sesungguhnya Asma' binti Abi Bakar telah berkunjung kepada Rasulullah Shallallahu ˜alaihi wasallam dan dia memakai pakaian yang nipis. Lalu Nabi Shallallahu ˜alaihi wasallam berpaling daripadanya.

Baginda bersabda: Wahai Asma' sesungguhnya orang perempuan apabila meningkat umur haidh (umur baligh), tidak boleh dilihat padanya kecuali ini¦ dan ini... Lalu Baginda Rasulullah Shallallahu ˜alaihi wasallam pun menunjukkan muka dan kedua-dua tapak tangan Baginda. (Hadis riwayat Abu Daud)

Hadis di atas dengan jelas melarang memakai pakaian yang jarang atau nipis di luar sembahyang, demikian jua dalam sembahyang.

As-Sayyid al-Bakri kemudian menyebutkan, sesuatu kain atau pakaian meskipun berwarna atau yang dicelup jika ianya jarang dan nipis juga tidak memenuhi syarat as-satir.

b) Begitu juga sekiranya dalam sembahyang dia memakai pakaian yang jarang atau nipis untuk menutup keseluruhan auratnya kemudian dia menutup atau melapis lagi pakaian tadi dengan telekung atau yang seumpamanya dan warna kulit masih kelihatan, maka samalah juga hukumnya seperti (a) di atas.

Selain daripada jenis-jenis pakaian yang telah disebutkan di atas, harus bagi golongan wanita bersembahyang dengan memakai pakaian sutera atau menjadikannya alas (lapik sembahyang) ketika sembahyang. Manakala memakai pakaian yang mempunyai gambar atau menjadikannya alas (sembahyang di atasnya) atau menghadap ke arahnya, hukumnya makruh.

Ternampak Aurat Sendiri Semasa Sembahyang

Ketika hendak mengerjakan sembahyang pakaian hendaklah diberi perhatian, iaitu menutup seluruh anggota aurat dengan sempurna sebagaimana yang dituntut oleh syara'. Ini kerana apabila dia melihat aurat sendiri atau dilihat oleh orang lain semasa sedang sembahyang kerana kecuaian menutupnya, maka hukum sembahyangnya tidak sah.

Sebagai contoh jika seseorang perempuan yang bersembahyang, sekalipun dengan memakai telekung, sedangkan di bahagian leher terbuka luas atau besar sehingga dia boleh nampak auratnya sendiri atau dilihat oleh orang lain ketika dia ruku' atau sujud, maka batal sembahyangnya. Oleh itu hendaklah dirapikan, dikancing atau diikat terlebih dahulu dengan sempurna bahagian leher yang terbuka tadi, kemudian barulah mengerjakan sembahyang.

Sekiranya dia mendapati pada pakaian yang digunakannya untuk bersembahyang berlubang atau koyak yang menampakkan auratnya, maka wajib dia mengulangi sembahyangnya tadi. Samada dia mengetahui tentang koyak tersebut kemudian dia terlupa mengenainya, ataupun dia langsung tidak mengetahuinya. Akan tetapi jika dia menyangka bahawa koyak itu terjadi selepas memberi salam, maka tidak perlu dia mengulangi sembahyang tadi tanpa khilaf.

Terbuka Aurat Dengan Tiba-Tiba

Berbeza hukumnya dengan aurat yang terbuka secara tiba-tiba dan tidak senghaja, maka sembahyang tetap sah dengan syarat hendaklah ditutup dengan segera. Yang dimaksudkan dengan tidak sengaja, seperti ditiup angin atau terbuka oleh haiwan atau kanak-kanak yang belum mumayyiz kerana dia tidak mempunyai niat atau maksud di sebalik perbuatannya itu. Sebaliknya jika aurat itu terbuka oleh kanak-kanak yang sudah mumayyiz, maka batal sembahyangnya.

Sembahyang Di Dalam Gelap

Terdapat andaian apakah kegelapan atau ketiadaan cahaya boleh diistilahkan sebagai satir kerana ia menutupi dan melindungi warna kulit dan aurat dari pandangan mata? Menurut Ibnu Hajar al-Haitami, kegelapan tidak boleh diertikan sebagai satir. Oleh yang demikian, adalah tidak sah sembahyang seseorang yang tidak menutup aurat sekalipun dalam gelap.

Kesimpulan

Adalah menjadi kebiasaan memakai telekung putih ketika sembahyang dan ini menepati ciri-ciri yang digambarkan sebagai pakaian yang sempurna dan digalakkan di dalam Islam. Maka hendaklah dipastikan bahawa telekung yang dipakai janganlah nipis atau jarang sehingga menampakkan warna kulit atau anggota aurat. Di samping menggunakan telekung, hendaklah juga memakai pakaian yang sempurna menutup aurat di bahagian sebelah dalam sebagai langkah berjaga-jaga.

Dari penjelasan di atas, nyatalah bahawa rambut, leher, lengan, dua kaki dan tapak kaki adalah aurat bagi perempuan ketika bersembahyang. Maka wajiblah kesemua anggota ini ditutup dan dijaga semasa sembahyang kerana rambut yang terjuntai, lengan yang tidak berlapik, kaki yang terdedah dengan sengaja boleh membatalkan sembahyang.

Di samping menutup aurat, menjaga kebersihan pakaian yang dipakai dan tempat bersembahyang daripada najis merupakan di antara syarat sah sembahyang. Maka hendaklah kita mengambil perhatian yang sewajarnya dan meneliti dengan sempurna perkara-perkara yang bersangkutan dengan syarat sah sembahyang agar ibadat yang dilaksanakan akan diterima dan mendapat ganjaran sebagaimana yang dijanjikan Allah Subhanahu Wa Ta˜ala hendaknya.

DI SUNTING DARI: LAMAN MUFTI BRUNEI

Saturday, May 23, 2009

Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) 3/2009

Latihan Dalam Perkhidmatan (LADAP) siri 3 bagi tahun 2009 telah diadakan di SK Sungai Kerawai yang bermula dengan pendaftaran jam 7.30 petang dan berakhir jam 2.30 petang.

Mengikut perancangan awal, LADAP ini dibahagikan kepada dua sesi iaitu sesi pertama adalah bengkel membina blog dan sesi kedua menghasilkan fail tegak. Namun, disebabkan ketiadaan bekalan elektrik di sekolah, maka sesi membina blog terpaksa dibatalkan dan kedua-dua sesi digunakan bagi penghasilan fail tegak.

Fasilitator yang membimbing guru-guru ialah Pn Azlina Kama binti Mat Lazim. Guru-guru dibahagikan mengikut panitia seperti panitia agama islam, bahasa melayu, bahasa inggeris, pendidikan jasmani dan sains. semua guru sangat tekun untuk menghasilkan fail tegak yang terbaik. Tahniah kepada semua guru atas usaha dan kesungguhan anda.







Mutiara Kata

Nasyid fm