Pages

Subscribe:

Saturday, September 19, 2009

Salam `Idulfitri

Panitia Pendidikan Islam SK Sg Kerawai mengucapkan
"Selamat Hari Raya `Idilfitri"

kepada semua warga SKSK dan semua pengunjung blog ini. Kullu `Am Wa Antum Bikhayr..Semoga bertemu lagi dengan Ramadhan yang akan datang.

Thursday, September 17, 2009

Adab Berhari Raya


                   Beberapa hari lagi, kita bakal menyambut kedatangan Syawal. Ramai yang gembira dan ada juga yang bersedih dengan pemergian Ramadhan. Inilah kegembiraan yang dijanjikan oleh Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang berpuasa selain dapat melihat wajah Allah di hari Akhirat. Justeru, kita perlulah menjaga adab berhari raya. Antara adabnya ialah : 



Pertama:
Sunat melaungkan takbir sebaik sahaja diumumkan bahawa anak bulan Syawal telah sabit dilihat. Laungan takbir itu bukanlah semata-mata untuk memeriahkan suasana Hari Raya sahaja, tetapi sebagai tanda syukur kita terhadap anugerah yang telah dikurniakan oleh Allah Subhanahu Wataala kepada hamba-hambanya. 

Kedua: 
Menghidupkan malam Hari Raya dengan berzikir dan mengerjakan sembahyang terutama sembahyang sunat tasbih hukumnya adalah sunat. 

Kedua: 
Menghidupkan malam Hari Raya dengan berzikir dan mengerjakan sembahyang terutama sembahyang sunat tasbih hukumnya adalah sunat. 
 
Ketiga:  
Pada pagi Hari Raya pula, sunat mandi dengan niat kerana kedatangan Aidulfitri dan bukannya mandi semata-mata hanya untuk membersihkan diri. 

Keempat: 
Sunat memakai bau-bauan yang harum, membersihkan diri dengan bergunting rambut dan memotong kuku serta memakai pakaian yang paling elok, kerana hari tersebut merupakan hari untuk berhias-hias dan berelok-elok. 

Kelima:
Sunat memakan buah kurma dengan bilangan yang ganjil sebelum ke masjid bagi menunaikan sembahyang Sunat Hari Raya.
 
Keenam: 
Menunaikan sembahyang sunat Hari Raya, bahkan ia adalah perkara yang paling penting dan utama dalam kita menyambut Hari Raya daripada perkara-perkara sunat yang lain. 

Ketujuh: 
Sunat doa mendoakan dan mengucapkan tahniah di antara satu sama lain seperti mengucapkan yang maksudnya: Semoga Allah menerima daripada kita dan menerimanya daripada awak. Maksud daripada kalimah tahniah yang berbentuk doa yang diucapkan itu membawa makna semoga diterima puasa dan amal kebajikan yang dibuat di bulan Ramadhan. 

Kelapan :
“ Sesiapa yang berpuasa Ramadhan dan diikuti dengan 6 hari di bulan Syawal adalah itu puasa setahun “ Riwayat Muslim.

Tuesday, September 15, 2009

Majlis Penutup Bulan Kemerdekaan

           Semalam, 14 September 2009 telah diadakan Majlis Penutup Bulan Kemerdekaan Peringkat SK Sg Kerawai. Majlis diadakan di dewan SKSK pada jam 8.00 pagi. Pelbagai acara telah diadakan sempena bulan kemerdekaan. Antaranya Pertandingan mewarna, melukis, deklamasi sajak, pantun, nyanyian lagu patriotik dan tresure hunt. 
            Acara dimulakan dengan bacaan doa oleh Ustaz Muhamad Fadzlan diikuti nyanyian lagu Negaraku, Negeri Perak, Sekolah, Keranamu Malaysia, Tanggal 31 dan Jalur Gemilang. Selepas itu majlis diteruskan lagi dengan Bacaan Perutusan DYMM Seri Paduka Baginda YDP Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin oleh Pn Noora binti Bustanuddin. Diikuti Perutusan Menteri Pelajaran Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin oleh En Roslan Mohd dan Perutusan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom oleh En Shahimi bin Mohd Yusoff.
           
             Majlis diserikan lagi dengan penyampaian hadiah kepada pemenag-pemenang pertandingan yang diadakan. Tahniah diucapkan kepada semua yang berjaya. Majlis berakhir jam 9.30 pagi.

Saturday, September 12, 2009

Memburu Lailatul Qadar


         BULAN Ramadan merupakan satu bulan yang penuh keberkatan di mana Allah SWT meluaskan rahmat-Nya agar menaungi seluruh hamba-hamba- Nya yang tekun beribadat dan taat kepada-Nya dengan memberi ganjaran pahala yang berlipat kali ganda. 

         Pada bulan ini juga terdapat satu malam yang lebih mulia berbanding 1,000 bulan, iaitu lailatul qadar. Padanyalah diturunkan al-Quran yang dijadikan panduan bagi seluruh umat Islam.

          Firman Allah SWT: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) itu pada malam al-Qadar. Apakah cara yang membolehkan engkau mengetahui kebesaran lailatulqadar itu? Lailatul qadar ialah malam yang paling baik berbanding 1,000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan izin Tuhan mereka membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun berikutnya). Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar. (al-Qadr: 1-5).

        Oleh itu, sesiapa yang beribadat pada bulan Ramadan dan menepati malam lailatul qadar, ganjaran pahala amalannya itu melebihi ibadah yang dilakukannya selama 1,000 bulan.

Apakah itu Lailatul Qadar?

        Tentang makna al-Qadr, sebahagian ulama berpendapat ia bermaksud pengagungan. Dari sini dapat kita fahami bahawa lailatul qadar bermaksud malam yang memiliki keagungan kerana diturunkan al-Quran pada malam tersebut, turunnya para malaikat, melimpahnya rahmat dan keampunan Allah serta Allah akan menganugerahkan keagungan (kemuliaan) kepada mereka yang beribadat pada malam itu.

     Al-Qadr juga bermaksud penetapan. Oleh itu, lailatul qadar juga bermaksud malam penetapan segala urusan yang bakal berlaku pada tahun berikutnya. Ini jelas bertentangan dengan tanggapan kebanyakan umat Islam di Malaysia yang beranggapan bahawa malam Nisfu Syaaban merupakan malam di mana Allah menetapkan apa yang ditakdirkan untuk kita pada tahun berikutnya.

      Mereka berhujah dengan firman Allah SWT: Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (agar hamba-hamba Kami tidak ditimpa azab). (Kami menurunkan al-Quran pada malam itu kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta ketetapan yang bakal berlaku. (al-Dukhan: 3-4.

       Menurut tafsiran 'Ikrimah, malam yang diberkati dan ditetapkan segala urusan manusia itu adalah malam Nisfu Syaaban. Namun, pendapat ini tertolak kerana nas-nas yang sahih menjelaskan bahawa al-Quran diturunkan pada bulan Ramadan. Malam yang diberkati itu adalah malam lailatul qadar sebagaimana yang terdapat di dalam surah al-Qadr yang penulis paparkan sebelum ini.

     Al-Hafiz Ibn Kathir r.h ketika mentafsirkan surah al-Dukhan, ayat 3-4, katanya: "Allah berfirman menjelaskan tentang al-Quran al-Adzim bahawa al-Quran diturunkan pada malam yang penuh berkat, iaitu malam al-Qadr sebagaimana firman Allah di dalam surah al-Qadr: Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada malam al-Qadr. (al-Qadr: 1).

       Hal itu terjadi pada bulan Ramadan sebagaimana firman Allah: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa ialah) bulan Ramadan yang diturunkan al-Quran padanya...(al-Baqarah: 185).

      Pengajaran di sini ialah sesiapa yang mengatakan bahawa malam yang dimaksudkan (dalam surah al-Dukhaan itu) adalah malam Nisfu Syaaban seperti yang diriwayatkan daripada 'Ikrimah, bererti dia telah menjauhkan diri dari pengertian asalnya. Ini kerana, nas al-Quran menegaskan bahawa yang dimaksudkan dengan malam yang penuh berkat itu (lailatul qadar) adalah pada bulan Ramadan. (Rujuk Kitab Tafsir al-Quran al-'Adzim karya al-Hafiz Ibn Kathir, jil. 4, ms. 137).

     Syeikh Muhammad Abdul Salam r.h berkata: "Keyakinan bahawa malam Nisfu Syaaban adalah malam al-Qadr adalah keyakinan yang salah". Demikian kesepakatan para ulama hadis sebagaimana dijelaskan oleh Ibn Kathir di dalam tafsirnya. Ketika menjelaskan Sunan al-Tirmizi, Ibn al-Arabi mengatakan bahawa firman Allah di dalam surah al-Dukhan, ayat 3: Sesungguhnya kami menurunkan al-Quran bermaksud diturunkan pada malam Nisfu Syaaban adalah tidak benar kerana Allah tidak pernah menurunkan al-Quran pada bulan Syaaban.

       Ayat itu harus difahami secara lengkapnya sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran pada malam al-Qadr di mana lailatul qadar itu hanya wujud pada bulan Ramadan. Hal ini juga ditegaskan oleh Allah di dalam surah al-Baqarah, ayat 185 di atas tadi.

      Keyakinan al-Qadr berlaku pada malam Nisfu Syaaban bertentangan dengan Kitabullah dan jauh terpesong dari isi kandungannya.

      Perlu kami ingatkan bahawa Allah sendiri menegaskan tentang malam itu di dalam surah al-Dukhan, ayat 3: (Kami menurunkan al-Quran pada malam itu kerana) pada malam yang berkat itu dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta ketetapan bermaksud pada malam al-Qadr dijelaskan segala hal kepada malaikat bukannya pada malam Nisfu Syaaban. (Rujuk Kitab al-Sunan wa al-Mubtada'at karya Muhammad Abdul Salam Khadr al-Syaqiry, ms. 156).

Bilakah berlakunya Lailatul Qadar?

       Sabda Rasulullah SAW: Carilah Lailatul Qadar pada malam-malam yang ganjil daripada 10 malam terakhir di bulan Ramadan. (riwayat al-Bukhari di dalam sahihnya, no: 2017.

       Dalam sabdanya yang lain baginda SAW menyebut:
      "Carilah (Lailatul Qadar) pada 10 malam terakhir. Jika seseorang kamu lemah atau tidak mampu, janganlah Dia kalah (putus asa) mencarinya pada baki tujuh malam terakhir." (riwayat Muslim di dalam Sahihnya, no: 1165).

      Kombinasi hadis di atas dapatlah kita simpulkan bahawa kita sepatutnya menggandakan ibadah pada malam yang ganjil bermula 10 malam terakhir pada bulan Ramadan terutamanya pada malam ke 23, 25, 27 dan 29.

Friday, September 11, 2009

Majlis Persaraan Pn Norul Aini binti Ab Hamid

            Sekali lagi, SK Sungai Kerawai kehilangan seorang lagi guru yang berdedikasi. Setelah persaraan Pn Nor Zaerah Abdul Majid pada November 2008 diikuti persaraan Pn Hjh Wan Latifah pada 29 Mei 2009, kini Pn Norul Aini pula bersara wajib pada usia 56 tahun.

 

         Sebenarnya tarikh persaraan Pn Norul Aini atau lebih mesra dengan panggilan "Kak Na" jatuh pada 10 September 2009. Namun, oleh kerana murid tahun 6 menghadapi peperiksaan UPSR,maka persaraan beliau dibuat pada hari ini sekaligus menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke 56. Majlis ini dihadiri oleh suami & anak bongsu beliau, semua murid, guru, ibu bapa dan AJK PIBG SKSK. Turut hadir ialah dua orang wartawan dari akhbar Kosmo! dan Sinar Harian.



             Persaraan Pn Norul Aini sangat istimewa kerana beliau telah berkhidmat selama 30 tahun di sekolah ini. Di sinilah beliau bermula (first posting) dan di sini jugalah beliau menamatkan khidmatnya. Antara murid beliau yang kini juga menjadi tenaga pengajar di SKSK ialah Pn Siti Suraini, En Kamal Kumar dan Cik Isliaha. Sepanjang 30 tahun berkhidmat di SKSK beliau telah mengajar 2 generasi Kg Sungai Kerawai.



             Terlalu banyak sumbangan yang telah diberikan oleh Pn Norul Aini. Anak-anak yang tidak pandai membaca dan mengira, ramai yang telah pandai membaca dan mengira berkat tunjuk ajar dari beliau. Beliau sangat sinonim dengan tahun 1. Kesabaran dan sifat penyayang beliau kepada kanak-kanak sangat jelas dan itulah penyebab beliau diberi tanggungjawab menjaga murid tahun 1.



                Alhamdulillah, majlis yang diadakan pada hari ini berjalan lancar. Semoga Pn Norul Aini gembira dan sentiasa mengingati warga SKSK. Bagi kami di SKSK kenangan bersama Kak Na akan terus terpahat di hati. Kelibatmu pasti kami rindui. Semoga berbahagia di samping keluarga tersayang melayari dunia persaraanmu.

 



Thursday, September 3, 2009

Salam Nuzul Quran



Malam al-Qadr Anugerah Ilahi
Oleh Zahazan Mohamed

Tarikh tepat Nuzul al-Quran 24 Ramadan berdasarkan surah al-Qadr, ad-Dukhan

PERISTIWA agung dalam sejarah umat Islam yang berlaku pada Ramadan ialah turunnya kitab suci al-Quran atau disebut Nuzul al-Quran.

Perkara itu dinyatakan dalam al-Quran menerusi firman Allah yang bermaksud: "Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan yang menjelaskan petunjuk dan menjelaskan perbezaan antara yang benar dan yang salah." (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Firman-Nya dalam ayat pertama surah al-Qadar yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami telah menurunkan (al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar.

Firman Allah lagi yang bermaksud: "Sesungguhnya Kami menurunkan al-Quran itu pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba Kami ditimpa azab)." (Surah al-Dukhan, ayat 3)

Nuzul adalah perkataan Arab yang memberi makna turun atau berpindah, iaitu berpindah daripada satu tempat ke tempat yang lain, manakala al-Quran bermaksud bacaan. Ia dikatakan sebagai bacaan kerana al-Quran itu untuk dibaca manusia.

Al-Quran juga dikatakan himpunan kerana dalam kitab suci itu terhimpun ayat yang menjelaskan pelbagai perkara meliputi soal tauhid, ibadat, jinayat, muamalat, munakahat dan sebagainya.

Al-Syeikh Ab Rahman al-Sa'adiy menjelaskan dalam tafsir Taysir al-Karim al-Rahman, 'malam yang berkat' yang dinyatakan Allah dalam surah al-Dukhan adalah malam yang penuh kebaikan dan rahmat, yang lebih besar keutamaannya daripada amalan seribu bulan. Maka, Allah memilih tarikh turun kalam-Nya buat pemimpin umat sejagat Nabi Muhammad SAW berlaku pada hari mulia iaitu malam al-Qadr.

Al-Syeikh Manna' Qattan dalam Mabahith Fi Ulum al-Quran, firman Allah itu secara dasarnya menunjukkan penurunan berlaku pada Ramadan dan secara khususnya ia diturunkan pada malam al-Qadr, suatu anugerah Allah buat mereka yang menghidupkan malam pada Ramadan.

Walaupun umat Islam di Malaysia secara tradisinya menyambut peristiwa Nuzul Al-Quran pada 17 Ramadan, namun sesungguhnya pendapat yang lebih tepat mengenai turunnya al-Quran ialah pada malam Isnin, tanggal 24 Ramadan bersamaan 13 Ogos 610 Masihi.

Pendapat yang mengatakan berlakunya pada 17 Ramadan adalah berpandu pada ayat 41, surah al-Anfal memfokuskan kepada peristiwa perang Badar bukannya al-Quran. Firman Allah yang bermaksud: "... jika kamu beriman kepada Allah dan apa-apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami (Nabi Muhammad SAW) pada hari Furqan, iaitu di hari bertemunya dua pasukan (di perang Badar, antara muslimin dan kafirin)..." (Surah al-Anfal, ayat 41)

Menurut riwayat yang dikemukakan Ibn Kathir dalam tafsirnya daripada Ibn Abbas, ayat itu adalah penjelasan mengenai hukum pembahagian harta rampasan perang (seperti yang terdapat pada awal ayat) iaitu firman Allah yang bermaksud: "Ketahuilah sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul-Nya, kerabat (Rasul), anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil (orang yang sedang dalam perjalanan)...

Justeru tarikh lebih tepat mengenai Nuzul al-Quran adalah pada 24 Ramadan kerana ia berdasarkan ayat pertama, surah al-Qadr dan ayat 1 hingga 4, surah ad-Dukhan.

Riwayat Ibn Abbas dan pandangan ini disokong majoriti mufassirin, al-Quran yang diturunkan pada malam 'Lailatul Qadar' seperti disebut itu adalah al-Quran yang turun sekali gus ke 'Baitul Izzah' di langit ke dunia.

Sedangkan al-Quran yang diturunkan ke bumi dan diterima Rasulullah SAW sebagai wahyu terjadi secara beransur-ansur selama 23 tahun. Menurut riwayat daripada al-Hakim, al-Baihaqiy dan al-Nasaei daripada Ibn Abbas, beliau menjelaskan Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Al-Quran diturunkan sekali gus oleh Allah ke langit dunia pada malam al-Qadr kemudian ia diturunkan secara berperingkat dalam masa 20 tahun."

Al-Quran diturunkan secara beransur-ansur dalam masa 22 tahun 2 bulan 22 hari atau 23 tahun (13 tahun di Makkah dan 10 tahun di Madinah). Ayat dan surah yang diturunkan sebelum peristiwa hijrah dikenali sebagai Makkiyah sedangkan yang diturunkan selepas peristiwa hijrah dikenali sebagai Madaniyyah.

Tujuan Allah menurunkan secara beransur-ansur adalah bagi memenuhi objektif berikut:



Supaya lebih mudah difahami dan dilaksanakan. Orang akan enggan melaksanakan suruhan dan larangan jika suruhan dan larangan itu diturunkan sekali gus dalam kadar yang banyak.

Hal itu disebut oleh Bukhari daripada riwayat 'Aisyah: "Antara ayat itu ada yang nasikh dan ada yang mansukh, sesuai dengan kamaslahatan. Ia tidak dapat dilakukan jika al-Quran diturunkan sekali gus. (Ini menurut pendapat yang mengatakan adanya nasikh dan mansukh)
Turunnya sesuatu ayat sesuai dengan peristiwa yang terjadi akan lebih berkesan dan lebih berpengaruh di hati.
Memudahkan hafalan. Orang musyrik menanyakan mengapa al-Quran tidak diturunkan sekali gus, seperti disebut dalam firman Allah yang bermaksud: "Orang yang kafir berkata: "Mengapa tidak diturunkan al-Quran itu kepada Muhammad semuanya sekali (dengan sekali gus?" Al-Quran diturunkan dengan cara (beransur-ansur) itu kerana Kami hendak menetapkan hatimu..." (Surah Al Furqaan, ayat 32)
Antara ayat itu adalah jawapan daripada pertanyaan atau penolakan suatu pendapat atau perbuatan, seperti dikatakan oleh Ibnu 'Abba, "Hal ini tidak dapat terlaksana jika al-Quran diturunkan sekali gus.
Penurunan al-Quran ini pula berlaku dalam berbagai bentuk. Menurut Safiyurrahman al-Mubarakfuriyy dalam al-Rahiq al-makhtum, Nabi Muhammad SAW diwahyukan mengikut pendekatan berikut :

– Menerusi mimpi yang benar ( al-Rukya al-Sadiqah ). Malaikat memasukkan wahyu itu ke dalam hatinya. Dalam hal ini, Nabi SAW tidak melihat sesuatu apa pun, hanya Baginda berasa bahawa itu sudah berada di dadanya.

Contohnya, Nabi SAW pernah bersabda mengatakan: "Ruhul Quddus mewahyukan ke dalam kalbuku bahawa seseorang itu takkan mati sehingga dia menyempurnakan rezekinya yang ditetapkan Allah."

– Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW menyerupai seorang lelaki yang mengucapkan kata-kata kepadanya dan peristiwa seperti ini sering disaksikan sahabat.

– Wahyu datang kepadanya seperti gemercingnya loceng. Cara inilah yang amat berat dirasakan Nabi SAW. Kadang-kadang pada keningnya terdapat peluh, walaupun turunnya wahyu itu pada musim dingin. Ada ketikanya, unta baginda terpaksa berhenti dan duduk kerana berasa amat berat.

Diriwayatkan oleh Zaid bin Tsabit: "Aku adalah penulis wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Aku lihat Rasulullah SAW ketika turunnya wahyu itu seakan-akan diserang demam yang kuat dan peluhnya bercucuran seperti permata. Kemudian selepas selesai turunnya wahyu, barulah Baginda kembali seperti biasa."

– Malaikat menampakkan dirinya kepada Nabi SAW dalam rupanya yang sebenar seperi dijelaskan dalam firman Allah yang bermaksud: "Sesungguhnya Muhammad telah melihatnya pada kali yang lain (kedua). Ketika (ia berada) di Sidratulmuntaha." (Surah an- Najm, ayat 13 dan 14)

– Malaikat mewahyukan kepada Nabi dari atas langit seperti yang berlaku dalam peristiwa Isra' dan Mikraj.

– Sesetengah ulama berpendapat Baginda SAW juga pernah berbicara secara langsung dengan Allah dan menerima wahyu seperti yang berlaku pada Nabi Musa. Perkara itu adalah suatu khilaf di kalangan ulama.


Al-Quran mempunyai beberapa fungsi penting antaranya ialah sebagai mukjizat Nabi Muhammad SAW. Al-Quran adalah bukti kenabian dan kerasulan Nabi Muhammad SAW, sekali gus menjadi bukti ia firman Allah bukannya ucapan atau ciptaan Nabi Muhammad SAW sendiri.

Rasulullah SAW menjadikan al-Quran sebagai senjata bagi menentang kafir Quraisy. Kita dapati mereka sememangnya tidak mampu menghadapinya, padahal mereka mempunyai kemahiran menggubah bahasa yang indah dalam ucapan serta sajak mereka.

Al-Quran adalah sumber hukum dan aturan hidup. Ayat al-Quran mengandungi peraturan mengenai hukum siasah negara, sosial, pendidikan, pengadilan, akhlak dan sebagainya. Semua aturan dan hukum ini wajib dijadikan sebagai pandangan hidup kaum muslimin dan umat manusia untuk mengatasi permasalahan hidup yang dihadapinya.

Sememangnya penyelesaian diberikan syariat Islam adalah penyelesaian sebenar kerana ia satu-satunya perundangan yang dapat memenuhi fitrah manusia. Kemampuan syariat Islam menyelesaikan pelbagai permasalahan menjadikan al-Quran mukjizat abadi paling menonjol di muka bumi.

Penulis ialah Pensyarah Jabatan Bahasa al-Quran Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)

Mutiara Kata

Nasyid fm