Pages

Subscribe:

Friday, September 11, 2009

Majlis Persaraan Pn Norul Aini binti Ab Hamid

            Sekali lagi, SK Sungai Kerawai kehilangan seorang lagi guru yang berdedikasi. Setelah persaraan Pn Nor Zaerah Abdul Majid pada November 2008 diikuti persaraan Pn Hjh Wan Latifah pada 29 Mei 2009, kini Pn Norul Aini pula bersara wajib pada usia 56 tahun.

 

         Sebenarnya tarikh persaraan Pn Norul Aini atau lebih mesra dengan panggilan "Kak Na" jatuh pada 10 September 2009. Namun, oleh kerana murid tahun 6 menghadapi peperiksaan UPSR,maka persaraan beliau dibuat pada hari ini sekaligus menyambut ulangtahun kelahirannya yang ke 56. Majlis ini dihadiri oleh suami & anak bongsu beliau, semua murid, guru, ibu bapa dan AJK PIBG SKSK. Turut hadir ialah dua orang wartawan dari akhbar Kosmo! dan Sinar Harian.



             Persaraan Pn Norul Aini sangat istimewa kerana beliau telah berkhidmat selama 30 tahun di sekolah ini. Di sinilah beliau bermula (first posting) dan di sini jugalah beliau menamatkan khidmatnya. Antara murid beliau yang kini juga menjadi tenaga pengajar di SKSK ialah Pn Siti Suraini, En Kamal Kumar dan Cik Isliaha. Sepanjang 30 tahun berkhidmat di SKSK beliau telah mengajar 2 generasi Kg Sungai Kerawai.



             Terlalu banyak sumbangan yang telah diberikan oleh Pn Norul Aini. Anak-anak yang tidak pandai membaca dan mengira, ramai yang telah pandai membaca dan mengira berkat tunjuk ajar dari beliau. Beliau sangat sinonim dengan tahun 1. Kesabaran dan sifat penyayang beliau kepada kanak-kanak sangat jelas dan itulah penyebab beliau diberi tanggungjawab menjaga murid tahun 1.



                Alhamdulillah, majlis yang diadakan pada hari ini berjalan lancar. Semoga Pn Norul Aini gembira dan sentiasa mengingati warga SKSK. Bagi kami di SKSK kenangan bersama Kak Na akan terus terpahat di hati. Kelibatmu pasti kami rindui. Semoga berbahagia di samping keluarga tersayang melayari dunia persaraanmu.

 



0 comments:

Post a Comment

Mutiara Kata

Nasyid fm